Tuesday, September 21, 2021

Persoalan di sebalik dos kosong vaksin Covid-19

Mesti baca

SEBELUM hebohnya isu tentang picagari kosong, saya menerima pertanyaan daripada seorang teman di Kemboja, betulkah di Malaysia ketika ini ada petugas yang memberi suntikan picagari kosong.

Beliau juga bertanya, betulkah, ada kes orang menjual vaksin dengan harga tinggi? Saya berterus terang dengan beliau, bahawa saya belum mendengar kes sedemikian. Tetapi sehari kemudian, ternyata, jawapan kepada kedua-dua soalan beliau itu, memang ‘ya’.

Namun, tidak lama kemudian, tersebar berita bahawa memang terdapat kejadian seperti itu di negara ini. Malah, pada minggu pertama bulan Julai 2021, polis Kuala Langat mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 di sebuah hospital.

Terdahulu, satu laporan polis tular di media sosial dengan seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit merakam proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan. Ya, bagaimanakah perasaan anda jika berada dalam kedudukan lelaki itu? Tentu anda akan risau dan kecewa.

Lelaki itu turut mendakwa, dimarahi dan diminta memadam rakaman video berkenaan selepas mendapat suntikan sebenar. Malah, video seorang wanita mengalami kejadian serupa di sebuah negeri di utara juga tular.

Seiring dengan itu, tersebar kartun dan juga lelucon betapa negara kita sudah mengeluarkan vaksinnya sendiri seolah-olah tidak mahu kalah di tangan United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Rusia yang telah mengeluarkan vaksin masing-masing. Anda tahu akan nama vaksin keluaran Malaysia itu? Cucuk angin!

Malah, lebih menarik, ada yang menyamakan kejadian itu dengan Sinovac, vaksin keluaran China, iaitu See-no-vac. Maksudnya, tidak melihat suntikan. Memang, rakyat Malaysia begitu kreatif dan pantas dalam mengolah kejadian harian yang tidak kena dengan mata sinis dan lawak jenaka. Jenaka sedemikian baik untuk meredakan tekanan ketika rakyat berdepan krisis ekonomi dan kewangan. Namun, ini bukan perkara yang dapat diambil mudah atau menjadi bahan lawak. Ini isu serius, membabitkan nyawa dan keselamatan individu dan rakyat di negara ini.

Kejadian memberi suntikan kosong dan penjualan vaksin tentu sesuatu yang mengejutkan. Atas apa-apa pun alasan, ia tidak dapat diterima ketika vaksin perlu diberi percuma kepada rakyat. Memang, terdapat pelbagai teori dan spekulasi di sebalik kedua-dua kejadian itu.

Yang pasti, rakyat mahu tahu apakah yang sebenarnya berlaku? Adakah memang kerana petugas dan sukarelawan terbabit keletihan seperti didakwa seorang timbalan menteri? Adakah semudah itu untuk rakyat menerima alasan lemah itu? Atau memang, ada sindiket di sebalik kejadian itu seperti didakwa melalui kenyataan yang disebarkan melalui media sosial?

Bahawa, petugas berpura-pura memberi suntikan yang sebenarnya mengandungi picagari kosong, sedangkan pigari berisi, akan dijual di luar? Saya keberatan untuk percaya akan teori berkenaan. Takkan petugas terbabit tergamak dan begitu terdesak? Tentu mereka sedar akan risiko dan implikasinya terhadap kerjaya dan masa depan mereka.

Namun, kejadian itu jelas mengundang banyak pertanyaan di benak rakyat. Malah, sebenarnya, timbul keraguan dan kebimbangan. Adakah mereka juga menerima nasib sama, hanya diberi picagari kosong tanpa disedari mereka? Jangan salahkan rakyat kerana mempunyai perasaan sedemikian.

Justeru, kita perlu segera tangani isu ini dengan pantas dan berkesan. Kita tidak boleh menyapu isu ini di bawah karpet. Kita tidak boleh berpura-pura bahawa, ini hanya isu kecil dan satu kekecualian.

Kenyataan kerajaan bahawa mereka yang terbabit akan diberikan vaksin semula dapat dianggap sebagai respons yang begitu simplistik. Kemudian terdapat pula cadangan bahawa orang ramai yang ragu-ragu sama ada mereka telah divaksin dengan sempurna atau tidak harus mengambil ujian antibodi bagi memastikan mereka telah mempunyai perlindungan. Semuanya sangat tidak masuk akal. Siapa yang harus menanggung kos ujian seterusnya ini?

Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas. Sebaliknya, kita perlu menangani isu ini hingga ke akar umbi. Kita tidak harus mengambil ringan isu ini meskipun ia tidak berlaku secara meluas. Sebab, perkara ini membabitkan keselamatan individu terbabit, dan juga imej dan reputasi negara di mata dunia.

Kita tidak mahu negara luar, tidak percaya terhadap negara kita, sedangkan banyak wang, masa dan tenaga dikorbankan setakat ini untuk melaksanakan program vaksinasi. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Ya, jangan kerana kerbau seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.

Memang benar, kita antara negara yang pantas melaksanakan vaksinasi di rantau ini. Setakat Khamis, 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, setakat ini. Sebanyak 21.8 peratus populasi tersebut telah mendapat dua dos lengkap. Ini satu pencapaian yang membanggakan.

Di Asia Tenggara, Indonesia, negara 270 juta jiwa mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 60.4 juta dos, jauh meninggalkan negara lain. Manakala Filipina dan Malaysia kini lebih 15 juta dos, manakala Thailand mencatatkan lebih 14 juta dos.

Justeru, suatu inkuiri awam yang bebas untuk menyiasat insiden suntikan picagari kosong memang wajar. Rakyat berhak mengetahui kedudukan yang sebenar dan kewibawaan sistem kesihatan negara mesti segera dipulihkan.

Tidak dinafikan, kejadian suntikan picagari kosong dan penyelewengan vaksin telah menjejaskan kredibiliti sistem vaksinasi nasional.

Justeru, memang wajar Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan tatacara suntikan vaksinasi atau prosedur operasi standard untuk diikuti oleh petugas. Jangan sampai kejadian seumpama itu berulang lagi. Jangan sampai pisang berbuah dua kali.

Ini tentu akan mencetuskan kerisauan, kebimbangan dan defisit keyakinan dalam kalangan rakyat. Ketika negara menuju sejuta kes jangkitan dan 10,000 kematian, kita tidak boleh membiarkan kejadian jelek dan bobrok seperti ini berlaku.

Segala langkah perlu diambil untuk menghentikan kejadian sedemikian bagi meyakinkan rakyat yang datang ke pusat pemberian vaksin. Dengan itu, tentu akan dapat meredakan kerisauan masyarakat yang ragu-ragu sama ada mereka menerima suntikan tulen atau tergolong dalam kategori picagari kosong.

Ini sahaja jalan terbaik bagi memastikan rakyat terus yakin dan bersedia untuk pergi ke pusat pemberian vaksin. Dengan itu, imej negara akan terus dapat dipelihara dan dipertahankan.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru