Monday, October 25, 2021

Ordinan Darurat dibatalkan: Mengapa tiada langsung pengumuman?

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini berkaitan Ordinan Darurat, tanya Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berikutan  pengumuman menteri undang-undang Datuk  Seri Takiyuddin Hassan dalam persidangan Parlimen pagi tadi yang memaklumkan bahawa enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini? Benar, Parlimen merupakan medan terbaik untuk membahaskan isu-isu dasar berkepentingan negara tetapi untuk suatu keputusan besar seperti pembatalan darurat, mengapa tiada pemakluman awal kepada umum?,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Takiyuddin memberi penjelasan itu kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memohon penjelasan sama ada Yang di-Pertuan Agong berkenan terhadap pembatalan undang-undang itu​​

“Bermakna, selama lima hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara. Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undan darurat masih terpakai?” soalnya.

Tegasnya dalam perbahasan tadi disebut bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang Ordinan Darurat mesti dibentang kepada Parlimen, melainkan ia dibatalkan lebih awal.

“Adakah mengelak prosedur perbahasan ini menjadi sebab pembatalan dibuat awal? Sedangkan semalam kenyataan rasmi Umno jelas mahu membahas dan membatalkan Ordinan Darurat.

“Apa pun, suatu penjelasan tuntas mesti dibuat segera bagi mengelak kekeliruan. Dalam Dewan tadi pun, masih wujud kekeliruan apakah status darurat. Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal?,’ tanya beliau lagi.

“Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat? Adakah telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?”

Katanya, di sebalik semua kekeliruan ini, suatu yang jelas ialah sepertimana beberapa keputusan besar sebelum ini misalnya untuk melaksanakan persidangan Parlimen kali ini pun, setelah didesak berkali-kali oleh pelbagai pihak termasuk UMNO, barulah sesuatu tindakan diambil dan seakan tergesa-gesa.

Secara Rawak

Artikel Terbaru