Tuesday, September 21, 2021

Kerajaan perlu selamatkan peniaga kecil dan sederhana

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap menjalani kuarantin kendiri ada hikmahnya kerana memberi lebih banyak masa untuk beribadat, membaca dan menulis serta meneliti perihal rakyat dan negara.

Contohnya, katanya, beliau terbaca hadirin sebuah program dimaklumkan bahawa kerajaan telah banyak menyokong kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Menteri Kewangan beritahu kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif melibatkan berbilion ringgit untuk membantu PKS sejak 2020.

“Antaranya dalam bentuk subsidi upah, pembiayaan kredit mikro dan peningkatan peruntukan Dana BNM bagi pembiayaan PKS.

“Bagus sekali andai makluman itu benar kerana PKS walau perniagaan ‘kecil dan sederhana’ menyumbang lebih 38.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, PKS menyediakan kira-kira 48% daripada jumlah pekerjaan dalam negara serta menyumbang 17.9% daripada nilai eksport yang bermaksud jika PKS terjejas, sebahagian ekonomi negara boleh lumpuh.

“Justeru, PKS memang perlu dibantu dan diselamatkan, tetapi apa diceritakan Kementerian Kewangan itu tidak selari dengan pendedahan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“MEDAC pada 7 Julai lalu beritahu PKS di ambang kejatuhan berdasarkan tinjauan dilakukan dari 15 sehingga 28 Jun 2021,” katanya lagi.

Katanya, hasil tinjauan itu menunjukkan kira-kira 580,000 perniagaan, mewakili 49% daripada sektor PKS berisiko gagal menjelang Oktober ini.

“Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pada 9 Jun juga menyatakan banyak PKS tidak lagi mampu bertahan.

“MEF menerima maklum balas daripada majikan bahawa keadaan tidak dapat diselamatkan lagi.

“Bagi kebanyakan mereka, ini adalah mengenai kelangsungan hidup kerana tiada aliran tunai untuk memastikan operasi terus berjalan,” ujar Zahid.

Ironi kata beliau, berbilion-bilion ringgit wang negara diumumkan untuk membantu PKS, tetapi pada akhirnya PKS tetap menderita.

“Kita harap kerajaan dapat meneliti situasi ini sebaik mungkin. Hal ini kritikal. Kena ingat sebanyak 48.4% daripada jumlah pekerjaan dalam negara adalah dalam sektor PKS,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru