Thursday, December 9, 2021

Ikuti langkah berikut elak serangan varian Delta

Secara Rawak

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin mengambil maklum berkaitan Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 Julai 2021 mengenai terdapat 76 kes COVID-19 varian Delta iaitu Variant of Concern (VOC) telah dikesan di Sarawak.

Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 varian Delta yang telah dikesan di Sarawak adalah sebanyak 93 kes di mana kesemua kes ini telah dilaporkan sebagai kes positif COVID19 di Sarawak pada bulan Mei hingga Julai 2021.  Kes varian Delta paling banyak dikesan di Bahagian Kuching sebanyak 69 kes, diikuti Samarahan (10 kes), Serian (6 kes), Sri Aman (5 kes), Miri (2 kes) dan Sibu (1 kes).

Daripada jumlah tersebut, satu (1) kes merupakan kes import A, empat (4) kes import B dari Semenanjung Malaysia, lapan (8) kes dikesan di kalangan tahanan polis dan imigresen di Bahagian Kuching, Sri Aman dan Serian manakala selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.

Kes varian Delta telah dikesan di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD) di Bahagian Kuching seperti PKPD Kampung Astana Lot dan Sungai Bedil Besar, PKPD Kampung Seratau, PKPD Emperoh Nyiru Grait dan PKPD Kampung Bintawa Hilir.

Kes varian Delta turut dikesan dalam kalangan kes-kes kluster aktif seperti Kluster Sentosa 2, Kluster Salak Land, Kluster Sungai Bedil Besar, Kluster KM23 Jalan Puncak Borneo, Kluster Pagar Satok, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass,
Kluster Duyoh, Kluster Pagar Serian, Kluster Tembok Sri Aman 2 dan Kluster Lorong Perlis Empat Miri.

Seramai 56 kes (60 peratus) belum menerima vaksin COVID-19 manakala 27 kes (29 peratus) telah menerima dos pertama vaksin dan 10 kes (11 peratus) telah menerima dos kedua vaksin sebelum mereka dikesan positif COVID-19.  Walau bagaimanapun, hanya 8 kes telah lengkap menerima vaksin iaitu lebih daripada 14 hari selepas dos kedua.

Sebanyak 98 peratus kes COVID-19 ini berada pada tahap klinikal 1 dan 2 yang menunjukkan keadaan kes adalah stabil dan tidak memerlukan bantuan oksigen.  Hanya satu (1) kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes tersebut juga dalam keadaan stabil.  Tiada kes kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes varian Delta tersebut.

Walaupun virus SARS-CoV-2 varian Delta telah dikesan di Sarawak, orang ramai adalah dimaklumkan agar tidak perlu berasa cemas.  Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

i. Kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting.

ii. Jangan mengunjungi ahli keluarga, jiran atau rakan tanpa tujuan yang penting. Sayangilah keluarga dan rakan kita dengan tidak menjangkiti mereka dengan virus SARS-CoV-2 COVID-19 yang boleh membawa maut.

iii. Apabila berada di tempat awam seperti kedai makan dan pasar raya, sentiasa pastikan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dengan semua orang serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

iv. Semasa di tempat kerja seperti di pejabat, di lapangan atau menghadiri mesyuarat, sentiasa pastikan pemakaian pelitup muka pada setiap masa dan penjarakan fizikal dengan semua orang termasuklah rakan sekerja.  Elakkan makan beramai-ramai di ruang pantri.  Ianya turut perlu diamalkan semasa waktu rehat atau solat.

v. Elakkan makan bersama orang bukan serumah semasa ‘dine-in’ di kedai makan.  Tanggalkan pelitup muka hanya apabila menjamu selera dan pastikan memakai semula pelitup muka apabila berbual.

vi. Sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas, atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit dan muntah tanpa punca yang dapat dikenal pasti, sila dapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat dengan kadar segera walaupun gejala adalah ringan dan tidak teruk.

vii. Jika mengenali individu yang telah dikesan positif COVID-19 dan terdedah kepada mereka dalam tempoh 14 hari yang lepas, sila dapatkan saringan di fasiliti kesihatan terdekat walaupun belum dihubungi oleh anggota kesihatan.

viii. Jika diarahkan untuk kuarantin di rumah, sila bekerjasama agar tidak sekali-kali meninggalkan rumah atau berhubung rapat dengan ahli keluarga atau rakan lain yang tinggal serumah.  Ini amat penting bagi mencegah mereka daripada dijangkiti.  ix. Semasa dalam tempoh kuarantin di rumah, jika gejala bertambah teruk dan berasa tidak sihat, sakit kepala atau sakit dada, sila hubungi hospital terdekat ataupun telefon 999 untuk bantuan.

x. Imunisasi COVID-19 boleh mengurangkan risiko kematian dan penyakit yang teruk sekiranya dijangkiti virus COVID-19 termasuklah varian VOC.  Orang ramai yang layak adalah dinasihatkan mendapatkan imunisasi COVID-19 dengan kadar segera.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memohon agar masyarakat di Sarawak tidak leka dan terus kekal berwaspada.  Amalkan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan pada setiap masa sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian. Orang ramai juga digalakkan supaya memakai dua lapisan pelitup muka (double mask) sekiranya berada di tempat berisiko tinggi.  Bersama-samalah kita memutuskan rantaian perebakan jangkitan COVID-19 ini.

Sekian, terima kasih.

DATO’ DR MOHAMED SAPIAN BIN MOHAMED DIMP.SMP
Pengarah
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru