Saturday, October 23, 2021

Bomba ambil masa lebih sejam padam kebakaran di Bintangor

Mesti baca

BINTANGOR: Bomba dan Penyelamat Bintangor mengambil masa lebih sejam untuk memadam kebakaran belukar melibatkan kawasan tanah gambut seluas dua hektar di Jalan Sungai Sekijang, Sing Ba, di sini, semalam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pasukannya dengan kekuatan tujuh anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang.

“Bagaimanapun kami berdepan kesukaran apabila terpaksa melalui jalan raya yang rosak teruk dan tidak rata. Jarak pili bomba yang paling hampir dengan tempat kejadian ialah 152.4 meter.

“Api berjaya dikawal jam 6.44 petang dan operasi selesai sepenuhnya pada 7.50 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian mengakibatkan bekalan air ke rumah panjang berhampiran terputus apabila beberapa batang saluran paip ke kawasan itu hangus.

“Sebelum bertolak balik ke balai, kita melakukan pemantauan susulan bagi memastikan tidak berlaku kebakaran berulang,” katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru