Tuesday, September 21, 2021

Upacara pengebumian jangkiti 4,466 orang di Sarawak

Mesti baca

SPAOH: Barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diingatkan agar memandang serius jangkitan Covid-19 yang berpunca daripada upacara pengebumian yang sehingga kini menjangkiti 4,466 individu di negeri ini.

Justeru itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan harus dititikberatikan.

Menyatakan demikian Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mahu KMKK memaklumkan kepada Pejabat Daerah jika terdapat kes kematian atau upacara pengebumian.

“Isu berkaitan SOP terutama di majlis pengebumian dan aktiviti sosial yang mengumpulkan orang ramai harus diberikan perhatian serius.

“Maknanya, jika penduduk ingin melakukan upacara pengebumian, ketua kampung atau tuai rumah perlu memaklumkan kepada Pejabat Daerah terdekat.

“Ini bagi memastikan kehadiran atau penglibatan orang ramai dapat dikawal kerana majlis seperti itu merupakan tempat yang sangat mudah untuk virus tersebar seperti yang berlaku pada Kluster Pasai.

“Sehingga kini, sebanyak 22 kluster disebabkan oleh majlis pengebumian di seluruh negeri dengan 4,466 kes positif serta 35 kematian direkodkan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu semasa Majlis Perasmian Bengkel Kepolisan Komuniti yang disertai 49 KMKK di sini, semalam.

Jelasnya, pemimpin masyarakat yang gagal memastikan pematuhan SOP terhadap Covid-19 di rumah panjang atau kampung, berisiko mengundang situasi yang lebih teruk.

“KMKK boleh dikompaun kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kesejahteraan anak buah masing-masing.

“Misalnya baru-baru ini beberapa tuai rumah yang dikompaun RM2,000.

“Harus diingat, walaupun penduduk luar bandar telah banyak diberikan vaksin, itu bukan jaminan untuk tidak dijangkiti lebih-lebih lagi dengan penularan varian Covid-19 baharu seperti Delta yang lebih cepat menjangkiti dan berbahaya,” ujarnya.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengulangi gesaannya bagi mereka yang masih belum mendapatkan vaksin agar bertindak segera.

Secara Rawak

Artikel Terbaru