Tuesday, September 21, 2021

Jambatan Rambungan dijangka siap akhir Mac 2023

Mesti baca

KUCHING: Projek pembinaan jambatan Sungai Batang Rambungan yang kini sedang dalam pembinaan dijadualkan semula siap sepenuhnya pada 31 Mac 2023.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, kelewatan projek ini tidak dapat dielakkan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

“Jambatan yang merentasi jarak sepanjang 1.37 kilometer itu sepatutnya dijadualkan siap selama 36 bulan bermula Disember 2019 tetapi kini di bawah penjadualan semula iaitu dijangka siap pada 31 Mac 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Tapak Projek Jalan Pesisir Jambatan Rambungan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Julaihi mendedahkan bahawa kemajuan pembinaan projek tersebut sepatutnya telah mencapai tahap 32.7 peratus tetapi hanya mencapai 11 peratus pada masa ini.

“Namun, kerja-kerja pembinaan projek jambatan berkenaan masih dalam proses pembinaan.

“Malah, pihak kontraktor juga masih mempunyai kelayakan untuk memohon Permohonan Tempoh Lanjutan (EOT) berikutan penguatkuasaan PKP yang masih berjalan” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru