Sunday, September 19, 2021

Adakah 54 hari ‘total lockdown’ gagal?

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Malaysia membangkitkan persoalan berkaitan jumlah jangkitan harian kes Covid-19 yang mencatatkan angka 15, 902 sekali gus mengundang persoalan apa sudah jadi dengan 54 hari sekatan pergerakan penuh.

Malaysia dijangka mencecah angka sejuta kes jangkitan hari ini selepas mencapai 996,393 kes semalam.

Untuk rekod, negara ini berada di tangga ke-31 dunia dari segi angka keseluruhan jangkitan.

Menurut Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ramai mengeluh dengan angka sedemikian rupa malah ada juga suara sumbang yang menyalahkan rakyat tidak berdisiplin, namun benarkah begitu.

“Hakikatnya, rakyat lebih awal desak supaya buat ‘Total Lockdown’ betul-betul. Malah Pemuda Umno antara yang lantang bersuara mencadangkan buat ‘Total Lockdown’ 14-21 hari sebagaimana PKP 1.0 dulu dengan menyediakan juga bantuan khas kepada rakyat yang terpaksa berkurung. Malah kita guna hashtag #BiarSusahSekaliBukanBerkalikali,” katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya.

Namun, katanya lagi apabila Menteri Kanan Keselamatan waktu itu setuju tutup semua kilang ‘pintu depan’, Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI pula buka ‘pintu belakang’ bahkan dengan bangga mengumumkan pembukaan kilang-kilang hingga mencecah 128,150 syarikat hanya tiga hari selepas Perdana Menteri akur dengan tuntutan rakyat apabila mengisytiharkan ‘Total Lockdown’ pada 1 Jun 2021 dan itu pun selepas angka kes baharu COVID-19 mencecah 8,290.

Asyraf seterusnya berkata negara lain buat ‘Total Lockdown’ berjaya turunkan kes, namun kita pula bagaimana.

“Kalau memang niat dari awal nak buka kilang-kilang seperti biasa tak perlulah guna istilah ‘Total Lockdown’. Kalau ikut pengalaman negara-negara lain, kepimpinan yang gagal menangani pandemik seperti ini wajar letak jawatan, anda setuju?,” tambahnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru