Thursday, December 9, 2021

Masyarakat Penan beri kerjasama baik dalam program vaksinasi di Belaga

Secara Rawak

BELAGA: Sokongan dan kerjasama penduduk Penan di kawasan Uma Penan Long Peran dan Uma Penan Long Jaik melancarkan Program Vaksinasi Bergerak yang diadakan situ pada Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, kerjasama ditunjukkan itu sekali gus menepis tanggapan meleset segelintir pihak kononnya kaum Penan enggan divaksin.

Menjelas demikian kepada UKAS semasa meninjau program itu pada Rabu, Datuk Wilson yang juga Pengerusi Institut Kebangsaan untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Malaysia turut memuji kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ kerana berjaya mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pedalaman.

“Saya percaya inisiatif ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri adalah yang terbaik.

“Kalau kita ikut MySejahtera oleh Kerajaan Pusat, di Long Peran ini mana ada internet, mana ada telekomunikasi. Kita mempunyai cara terbaik di mana pasukan petugas kita turun padang ke kawasan pedalaman untuk memberikan suntikan vaksin,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah berusaha dengan gigih tanpa mengira penat lelah bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan sehingga ke kawasan pedalaman demi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon juga berpuas hati dengan sambutan dari penduduk Penan yang keluar beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin pada program tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan khasnya pihak KKM Bahagian Kapit dan Daerah Belaga yang cukup komited melaksanakan program vaksinasi ini bagi memastikan semua masyarakat mendapat suntikan termasuk penduduk yang tinggal di pedalaman.

Sementara itu, Residen Bahagian Kapit, Nyurak Keti berkata kira-kira 59,000 atau 63 peratus penduduk di Kapit telah divaksin dos pertama setakat 20 Julai 2021.

Seramai 88 penduduk di Uma Penan Long Peran menerima dos pertama manakala 154 penduduk di Uma Penan Long Jaik turut disuntik dos pertama pada sebelah petang. 

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru