Friday, July 30, 2021

Vaksinasi di PPV Dewan Suarah Matu diteruskan

Mesti baca

MATU: Bagi memastikan semua penduduk yang layak dapat menerima vaksin di kawasan Matu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Matu dilanjutkan sehingga minggu pertama Ogos depan.

Adun Jemoreng, Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata tempoh tersebut diteruskan bagi mencapai sasaran mewujudkan imuniti kelompok khasnya di kawasan luar bandar.

“PPV Dewan Suarah Matu ini akan beroperasi sehingga minggu pertama bulan Ogos.

“Pelanjutan yang dilakukan sekitar dua minggu dari pelan asal adalah bertujuan memastikan semua rakyat yang berkelayakan di kawasan ini diberikan vaksin,” katanya kepada pemberita dalam tinjauannya ke PPV Dewan Suarah Matu baru-baru ini.

Tambahnya hampir 19,000 dos telah diberikan kepada penduduk sejak pusat vaksinasi berkenaan memulakan operasinya pada 4 Jun lalu dan secara keseluruhannya berjalan dengan lancar.

“Sokongan dan kerjasama penduduk dalam menjayakan program itu juga sangat baik.

“Untuk itu kita menyeru penduduk di Matu yang belum menerima vaksin untuk segera berjumpa ketua masyarakat atau hadir ke klinik yang berdekatan untuk mendaftarkan diri atau datang terus ke PPV Dewan Suarah Matu,”ujarnya.

Sementara itu, menurut Penyelaras PPV Dewan Suarah Matu, Dr Fatimah Azzahra Mohd Zukki mendedahkan seramai 11,185 penduduk telah menerima dos pertama dan 7,604 telah menerima dos kedua di Daerah Matu setakat 20 Julai 2021.

Termasuk program ‘Mopping’ juga dilaksanakan sejak minggu lalu melibatkan kawasan jauh daripada PPV khasnya bagi penerima terlantar seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pesakit yang uzur.

Secara Rawak

Artikel Terbaru