Friday, July 30, 2021

Sarawak gemilang untuk semua

Mesti baca

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Sarawak kepada semua Anak Sarawak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

Pada tahun ini seperti pada tahun lepas kita tidak merayakan Hari Sarawak dalam skala yang besar oleh kerana pandemik COVID-19. Namun, saya percaya kekangan yang dihadapi tidak melunturkan semangat kita sebagai Anak Sarawak untuk memperingati peristiwa yang amat penting dalam lipatan sejarah Negeri Sarawak setelah berada lebih 100 tahun dalam tangan kuasa asing bermula dari pemerintah keluarga Brooke.

Pada tanggal 22 Julai 1963, rakyat Sarawak diberi kuasa oleh pihak koloni British untuk mentadbir negeri sendiri atau kuasa “self-rule”. Bendera Union Jack telah diturunkan dan Gabenor British terakhir, iaitu Sir Alexander Waddell kemudian berundur meninggalkan bumi Sarawak.

Tanpa apa-apa pertumpahan darah pihak British telah menyerahkan kuasa untuk mentadbir negeri ini kepada rakyat Sarawak sendiri dengan perlantikan Ketua Menteri pertama, iaitu mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dan Allahyarham ayahanda saya Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Haji Sapie’e sebagai Gabenor pertama, kesemuanya lantikan daripada kalangan Anak Sarawak sendiri.

Saudara dan saudari mungkin bertanya kepada saya,

Apakah relevan dan signifikannya “self-rule” dengan keadaan getir yang kita hadapi sekarang dan hala tuju Sarawak secara umumnya?

Dalam usaha kita menangani pandemik yang melanda negeri pada waktu ini betapa kita menghargai kuasa yang ada pada kita mengikut Perlembagaan untuk membuat keputusan yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak agar ianya lebih praktikal dan berkesan. Keupayaan untuk membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri agar negeri ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri atau negara-negara yang sudah berada di hadapan.

We respect the federal government and decisions made at the federal level but not every decision made in Putrajaya is suitable or practical for implementation in Sarawak.

Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa kita melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat persekutuan.

Terdapat contoh jelas, iaitu modifikasi kepada proses pemberian vaksin yang membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera kerana kita akur bahawa sukar bagi saudara dan saudari di rumah-rumah panjang dan kampung untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera.

Ruang yang membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak. Pihak SDMC dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga penubuhan pasukan-pasukan begerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin. Pihak tentera juga juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar.

Alhamdulliah, dengan semua langkah ini Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 % daripada rakyat dewasa sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama.

Langkah-langkah telah dikenakan oleh pihak SDMC untuk menghambat penularan COVID-19, termasuk langkah untuk mempercepatkan program pemberian vaksin nampaknya telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini. Ini membuktikan bahawa Sarawak, dengan ruang yang ada, mempunyai keupayaan untuk menguruskan apa saja permasalahan yang dihadapi.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Saya amat terharu dengan kerjasama dan keprihatinan rakyat Sarawak yang telah tampil untuk membantu mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan bekalan makanan dalam tempoh PKP yang berlangsung kebelakangan ini. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program bantuan makanan melalui BKSS 6.0 dan juga Kerajaan Persekutuan melalui Pemulih tetapi kita tidak dapat menolak kemungkinan ada yang tertinggal atau tidak mendapat bekalan yang mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKP.

Pihak syarikat, pasar raya, pertubuhan agama, organisasi, parti politik dan orang perseorangan telah tampil untuk mengedarkan bahan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan. Bagi pihak Kerajaan Sarawak saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, yang sudi membantu tanpa mengharapkan balasan, termasuklah gerakan seperti Bendera Putih.

Saya juga amat terharu dengan komitmen para barisan hadapan kita yang telah bertungkus lumus menyumbangkan bakti untuk menangani pandemik COVID-19 dalam tempoh lebih setahun yang sudah. Anda semua adalah wira dengan jasa bakti yang tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit.

Saudara dan saudari sekalian,

Di ambang Sarawak menuju ke arah mencapai status negeri maju pada tahun 2030, Kerajaan pimpinan saya telah merancang pembangunan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrakstruktur termasuk infrastruktur Internet. Saya amat yakin dengan dasar kita yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu kita bawa ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah.

Sambutan perayaan pada kali ini menjadi lebih bermakna dengan pelancaran pelan pasca COVID-19 bagi Negeri Sarawak yang bertujuan melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke 2030 dengan mengambilkira impak COVID-19.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Kebelakangan ini negara berhadapan dengan keadaan politik yang tidak menentu dan ia menjadi lebih meruncingkan dalam keadaan negara berhadapan dengan COVID-19. Namun, di Sarawak suasana politik agak stabil dan saya sebagai ketua Kerajaan GPS mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang melibatkan diri dalam politik dengan berhemah dan menghindarkan Sarawak daripada keadaan yang kucar-kacir.

Sebagai penutup, sempena sambutan perayaan Hari Sarawak pada tahun ini saya mengajak seluruh anak Sarawak supaya terus berganding bahu dan berusaha dengan gigih tanpa mengira apa peranan untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai sebuah negeri yang cemerlang untuk kita semua dan generasi yang akan datang. Insyallah.

Selamat menyambut Hari Sarawak.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

PERUTUSAN
YAB DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI
BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG
KETUA MENTERI SARAWAK
DI TVS SEMPENA HARI SARAWAK
22 JULAI 2021

Secara Rawak

Artikel Terbaru