Friday, July 30, 2021

Rakyat Sarawak dapat tentukan hala tuju negeri sendiri

Mesti baca

KUCHING: Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai merupakan satu tarikh keramat kepada rakyat bagi memperingati sejarah negeri sendiri yang bebas dari belenggu penjajahan Inggeris.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penghayatan tarikh tersebut bukan hanya sekadar satu sejarah sebagai rakyat Sarawak.

Justeru katanya, ia harus turut dihayati oleh generasi baharu agar mereka sedar bahawa hanya rakyat Sarawak dapat menentukan hala tuju negeri mereka sendiri.

“Pada tarikh tersebut, kita telah berjaya mendapatkan taraf berkerajaan sendiri yang jelas menunjukkan usaha untuk mencapai kemerdekaan negeri kita dengan pembentukan kabinet pertama Sarawak pada 22 Julai 1963.

“Kabinet pertama ini telah diketuai oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri dan turut dianggotai oleh jemaah menteri yang terdiri daripada pelbagai kaum yang merupakan anak jati Sarawak,” katanya dalam perutusan Hari Sarawak pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, rakyat juga harus sedar mengenai cabaran yang dihadapi dalam usaha menuju ke arah status negeri maju menjelang tahun 2030.

Sehubungan itu beliau berkata, rakyat Sarawak harus bersatu untuk mempertingkatkan keupayaan dari segi ekonomi dan melahirkan modal insan yang berkemahiran untuk memacu Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan misi tersebut tercapai.

“Rakyat perlu terus bersatu padu tanpa mengira pegangan agama, bangsa, budaya dan latar belakang yang berbeza untuk menentukan Sarawak akan terus menikmati kestabilan politik, aman, sejahtera dan maju jaya,”ujar beliau lagi.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru