Friday, July 30, 2021

Kamus bukan hanya dokumen bisu

Mesti baca

Tajuk Bicara Perdana Naib Canselor pada Jun lalu ialah “Naratif Baharu UKM Universiti Watan Kita.”

Dalam Bicara itu telah ditegaskan bahawa TERAS, atau ringkasan pada Talent (Bakat), Ethics (Etika), Revitalise (Memperkasa), Agile (Tangkas), dan Soul (Jiwa), wajar menjadi pemangkin pembangunan diri agar warga UKM dapat menjalankan tugas dengan penuh iltizam.

Kandungan Syarahan hari ini tercakup dalam dimensi ETIKA, iaitu, dimensi kedua dalam TERAS UKM dan terletak dibawah komponen WATAN yang pula mengandungi lima pecahan: (i) Falsafah Universiti, (ii) Bahasa Melayu, (iii) Warisan Budaya, (iv) Jati Diri dan (v) Patriotisme.

Pecahan Bahasa Melayu dalam komponen WATAN ini berkait rapat dengan MISI UKM yang berniat “untuk menjadi Universiti terpilih yang memartabatkan Bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan.”

Ringkasnya, UKM sebagai universiti watan terus memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmiah.

Usaha ini dipupuk dan diisi oleh ilmu berbahasa Melayu yang terhasil daripada ratusan penyelidikan peringkat siwazah (dalam bentuk tesis Sarjana dan Doktor Falsafah) dan daripada sumbangan pensyarahnya (dalam bentuk artikel dan buku masing-masing).

Di UKM Penerbit UKM adalah jentera penjana terpenting penerbitan ilmiah dalam Bahasa Melayu.

Dalam kalangan rakyat biasa malah dalam kalangan pensyarah universiti pun, selain daripada mereka dalam bidang linguistik, jarang usaha mengupas secara serius mengenai pembinaan sesebuah kamus, yang bermula daripada tahap awal pengumpulan perkataan daripada pelbagai sumber, ke beberapa tahap seterusnya sehingga akhirnya tersusun sebuah kamus yang kita gunakan, sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.

Melalui Syarahan Prof Collins ini adalah peluang keemasan untuk semua para hadirin hari ini membina kefahaman ‘celik kamus’ atau kefahaman mengenai sociology of dictionary-making, maksudnya serba serbi yang terlibat dalam pembuatan kamus dari segi konteks sosialnya.

Tepat sekali judul Syarahan yang dipilih oleh Profesor Collins, “Kamus dan Etnisiti: Sains dan Masyarakat,” menyimpulkan soal epistemologi, ontologi dan metodologi perkamusan.

Tersirat halus dalam Syarahannya beliau secara halus telah mengupas naratif orientalisme dan ilmu kolonial dalam membina kamus.

Saya harap selepas Syarahan ini setiap kali kita semua melihat kamus didepan mata, kemudian memegangnya dan membelek-beleknya halaman demi halaman bukan hanya sebagai dokumen bisu tetapi sebagai sebuah dokumen hidup (living document) yang penuh dengan pelbagai cerita dan misteri dalam proses pembikinannya.

Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak di UKM yang membantu menjayakan Syarahan ini.

Saya akhiri dengan sejambak bebunga bahasa sebagai sebuah hadiah untuk Profesor Collins:

Si dara ayu berbaju merah

Bertudung sutera tenunan Cina

Bahasa Melayu tercatat sejarah

Lima ratus tahun bahasa dunia

Burung tempua terbangnya rendah

Hinggap sebentar di dahan sena

Bahasa Melayu bahasa yang indah

Di sebuah kamus terhimpun rahsia

Sekian

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

TEKS UCAPAN

YBHG. PROFESOR ULUNG DATUK DR.

SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN FASC

PENGARAH PENGASAS, INSTITUT KAJIAN ETNIK (KITA)

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 BAGI SYARAHAN PROFESOR ANTARABANGSA TERSOHOR

 22 Julai 2021 

Secara Rawak

Artikel Terbaru