Monday, August 2, 2021

Bravo petugas Stesen 3 PPV WTC

Mesti baca

Sebaik sahaja kerajaan memutuskan untuk memendekkan waktu pemberian dos kedua vaksin AstraZaneca daripada 12 minggu asalnya kepada 9 minggu pada 2 Julai lalu, malam itu juga saya mendapat janji temu untuk melengkapkan vaksinasi saya melalui aplikasi MySejahtera.

Janji temu saya ditetapkan pada 21 Julai 2021, tanpa waktu tertentu dinyatakan. Hanya pada 5 Julai, saya dimaklumkan bahawa janji temu adalah pada jam 12 tengah hari.

Saya tahu itu adalah waktu paling sibuk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC), di mana saya menerima dos pertama saya pada 19 Mei 2021.

Kalau boleh saya mahu mengelakkan kehadiran di PPV WTC pada waktu itu, terutama apabila saya mendapat tahu bahawa mulai 17 hingga 27 Julai , bilangan kehadiran penerima vaksin ditingkatkan kepada 18,000 orang sehari.

Mujurlah saya ada menyimpan nombor telefon salah seorang doktor yang bertugas di Stesen 3 PPV WTC di mana saya menerima suntikan dos pertama tempoh hari.

Saya menghubungi beliau dan memohon pertimbangan untuk saya hadir di sana pada jam 7 malam. Beliau berkata tiada masalah asalkan datang juga untuk divaksinasi pada tarih yang tetap ditetapkan oleh MySejahtera.

Maka semalam saya ke Stesen 3, kendalian U.n.i. KLINIK PPV WTC untuk melengkapkan vaksinasi dos kedua saya pada waktu yang dijanjikan.

Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar.

Dibandingkan dengan dos pertama, masa yang diambil untuk saya mendapat suntikan dos kedua adalah lebih pantas. Dalam masa 20 minit setelah menghadirkan diri, proses vaksinasi saya telah selesai.

Kebetulan pula saya tiba awal iaitu pukul 6.43 petang untuk janji temu saya pada jam 7 malam. Tepat jam 7 malam selepas selesai divaksinasi, saya telah berada di tempat pemerhatian sebelum dibenarkan pulang 15 minit kemudian.

Hal ini dipermudahkan lagi kerana Stesen 3 PPV WTC kendalian U.n.i. KLINIK ini menyediakan tempat khas di tingkat 2 WTC khusus untuk kalangan yang ingin mendapatkan vaksinasi dos kedua.

Sekali lagi saya menerima layanan yang mesra daripada para tugas kesihatan U.n.i. KLINIK yang diterajui oleh Dr. Nazif Nor Rahim walaupun mulai 17 Julai lalu, Stesen 3 kendaliannya melayan sehingga 6,000 kalangan yang datang untuk mendapatkan vaksinasi sehari.

Walaupun petugas kesihatan U.N.I. KLINIK mungkin penat bekerja sehingga 12 jam sehari dengan cuti mingguan yang tidak menentu, mereka tetap tersenyum dan tidak merungut sewaktu memberikan perkhidmatan.

Menurut Dr. Nazif, U.n.i. KLINIK menempatkan 90 petugas kesihatan, termasuk 30 orang doktor di Stesen 3 itu.

Sehingga jam 11.59 malam semalam, 446,052 rakyat negara ini telah divaksinasi dengan pelbagai jenama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Dari jumlah itu 282,980 menerima suntikan pertama. Lagi 163,072 pula menerima suntikan kedua, dengan itu melengkapkan vaksinasi mereka.

Jumlah keseluruhan yang telah divaksinasi sehingga 22 Julai berjumlah 15,071,81 atau 32.4% penduduk Malaysia.

Daripada jumlah tersebut 10,301,905 merupakan penerima suntikan dos pertama manakala 4,769,909 diberi dos kedua untuk melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Selepas lengkap divaksinasi, saya kini cuma menunggu janji kerajaan untuk membenarkan mereka yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 untuk merentas daerah dan negeri serta makan di restoran, kafe dan gerai.

Dan untuk mereka yang bekerja, kembali mencari rezeki.

Kepada semua petugas – kesihatan dan bukan kesihatan – di PPV di seluruh negara khususnya kepada petugas di Stesen 3 PPV WTC yang dikendalikan oleh U.n.i. KLINIK, bravo!

Bakti anda untuk nusa, bangsa dan masyarakat adalah satu bentuk khidmat negara yang tiada tolok bandingnya.

Saya (kanan) berfoto kenangan dengan Dr. Nazif Nor Rahim, peneraju Stesen 3, kendalian U.n.i.KLINIK di PPV WTC
Dr. Nazif sewaktu ditemu ramah oleh program berita TV1, Berita Perdana pada 18 Julai 2021 menerangkan persiapan U.n.i KLINIKuntuk meningkatkan keupayaannya menyuntik lebih ramai penerima vaksin Covid-19 di PPV WTC bermula 17 Julai 2021.

Secara Rawak

Artikel Terbaru