KUCHING: Bagi memacu Sarawak menuju status negeri maju menjelang 2030, kerajaan telah merancang kemajuan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk kemudahan Internet, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menyatakan keyakinannya bahawa Sarawak dapat mencapai status negeri maju, beliau berkata dengan dasar berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu dianjak ke tahap lebih tinggi, manakala pendapatan rakyat rakyat dapat ditingkatkan dengan produk-produk yang mempunyai nilai tambah.
“Sambutan perayaan kali ini begitu bermakna dengan pelancaran pelan pasca-Covid-19 bagi Negeri Sarawak, bertujuan melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke tahun 2030 dengan mengambil kira impak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Sarawak yang disambut hari ini.
“Kebelakangan ini negara berhadapan dengan keadaan politik yang tidak menentu dan ia menjadi lebih meruncingkan dalam keadaan negara berhadapan dengan Covid-19,” katanya.
“Namun, suasana politik di Sarawak agak stabil dan sebagai ketua Kerajaan GPS saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang melibatkan diri dalam politik dengan berhemah dan menghindarkan Sarawak daripada keadaan kucar-kacir,” katanya.
Abang Johari mengajak seluruh seluruh anak Sarawak supaya terus berganding bahu dan berusaha gigih tanpa mengira peranan untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai negeri yang gemilang untuk generasi kini dan akan datang.