Friday, July 30, 2021

Dera jiran dengan bunyi kuda merengek, lelaki dipenjara 3.5 tahun

Mesti baca

RUSIA: Yuri Kondratyev, 47 menjadi terkenal serta-merta di kota Nizhny Novgorod, Rusia selepas namanya menjadi tajuk akhbar nasional baru-baru ini.

Dia dikatakan mendera jiran-jiran di kawasan pangsapurinya selama dua tahun.

Kondratyev, penganggur, yang tinggal bersendirian selepas ditinggalkan isterinya, mula mengganggu kehidupan jiran-jirannya pada 2018.

Dia mendakwa rimas dan sakit hati mendengar bunyi anak-anak jirannya bermain siang hari, berikutan itu dia bertindak membalas dendam dengan memainkan pelbagai bunyi pada malam hari.

Pada mulanya dia memainkan muzik rock berjam-jam dan kemudian mengubahnya kepada bunyi kuda merengek dan menghentak kaki.

Selepas gagal berbincang dengan Kondratyev, jiran-jirannya memfailkan aduan kepada polis dan pihak berkuasa lain perbuatannya itu.

Mereka juga menyarankan supaya dia dimasukkan ke hospital mental.

Media Rusia melaporkan sekitar 80 aduan difailkan terhadapnya antara April 2018 sehingga Disember 2020.

Dia juga didenda beberapa kali tetapi tidak pernah membayarnya, malah masih terus mendera jiran-jirannya dengan bunyi kuda tersebut.

Pihak berkuasa Rusia menahannya pada Disember tahun lalu dan dia didakwa atas tuduhan jenayah di bawah akta 117 kod jenayah Rusia yang merujuk kepada mangsa yang mengalami masalah mental dan fizikal.

Kondratyev juga tidak mengaku semua dakwaan tersebut semasa perbicaraannya di sebalik pelbagai bukti nyata yang ditunjukkan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 3.5 tahun terhadapnya menjadikan Kondratyev orang pertama dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan mengganggu jiran di Rusia.

Menurut Oddity Central, pesalah dalam kes yang sama sebelum ini hanya dikenakan denda.

Secara Rawak

Artikel Terbaru