Monday, August 2, 2021

Aidiladha bersama petugas, penerima vaksin PPV IPT UNIMAS

Mesti baca

KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UNIMAS beroperasi seperti biasa meskipun hari cuti umum Hari Raya Aidiladha demi mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera. 

Para petugas barisan hadapan dan para sukarelawan di PPV IPT UNIMAS tetap menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka seperti biasa semalam (20 Julai). 

Para petugas lelaki kelihatan segak berbaju Melayu manakala petugas wanita pula anggun berbaju kurung meskipun hakikatnya masing-masing menyambut Aidiladha di pusat pemberian vaksin. 

Orang ramai yang mempunyai janji temu vaksinasi juga tidak ketinggalan mengenakan busana raya sempena sambutan hari raya korban ini, memeriahkan lagi suasana PPV IPT UNIMAS.

Salah seorang sukarelawan yang juga staf UNIMAS di Pusat Pembangunan dan Khidmat Teknologi Maklumat, Alhadi bin Bujang berkata, dia tetap turun bekerja walaupun cuti umum untuk memberi semangat dan sokongan padu kepada petugas-petugas di PPV IPT UNIMAS.

“Saya tidak berasa terbeban malahan bersemangat untuk turun bekerja pada Hari Raya Aidiladha, walaupun sepatutnya cuti umum, dengan mengenakan baju Melayu supaya nampak lebih ceria,” katanya.

Manakala salah seorang Polis Bantuan UNIMAS, Inspektor Polis Bantuan Ismail bin Dan berkata, pengalaman pertama kali bekerja pada Hari Raya sangat menyeronokkan kerana dapat menjalankan tugas-tugas menjaga keselamatan bersama anggota-anggota lain walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga. 

“Tiada beza bekerja pada hari biasa ataupun cuti umum kerana kita ada tuntutan kerja yang lebih penting perlu dilaksanakan, tambah-tambah lagi pada tahun ini tiada aktiviti korban akan dijalankan, ” katanya yang terdahulunya telah menunaikan solat Aidiladha di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS sebelum bertugas di PPV IPT UNIMAS. 

Salah seorang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, Tahun 2, Nurul Aiman binti Hamid, 22, yang berasal dari Tebedu berkata, Aidiladha tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana tidak dapat berkumpul bersama keluarga tercinta. 

“Saya tidak dapat balik beraya bersama keluarga namun tetap meraikan Hari Raya Aidiladha dengan aktiviti makan bersama rakan-rakan di Kolej Cempaka. Saya berasa bersemangat turun kerja hari ini dengan rakan-rakan yang lain demi membantu para petugas barisan hadapan, katanya.”

Bagi salah seorang penerima vaksin dos kedua, Hazarudin bin Hamdin, 31, yang berasal dari Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan berkata dia sangat bertuah kerana dapat divaksin pada hari yang mulia ini. 

“Saya menunaikan solat Aidiladha terlebih dahulu sebelum pergi ke sini (PPV IPT UNIMAS). Isteri saya telah menyediakan juadah Raya dan bila balik dari sini, kami sekeluarga akan berkumpul bersama,” katanya yang ditemani isterinya yang turut divaksin.

Secara Rawak

Artikel Terbaru