Friday, July 30, 2021

683 tangkapan dadah, bahan terlarang di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Sebanyak 683 tangkapan dadah dan bahan terlarang berjaya dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak pada bulan Jun lalu.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, tangkapan tersebut merupakan hasil daripada 564 operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi berkenaan.

“Daripada hasil itu, 77 tangkapan adalah melibatkan pengedaran, 173 memiliki dadah dan bahan terlarang dan 433 adalah individu yang disaring positif urin.

“Jumlah tersebut mengalami peningkatan sebanyak 12.52 peratus berbanding dengan tangkapan dalam bulan Mei 2021 iaitu sebanyak 607 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Bulanan Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan terlarang (MIDS) di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Beliau menambah, melalui operasi itu, sebanyak 23.3 kilogram dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 28 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM514,000.

Jelasnya, impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 24,809 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang dan menyelamatkan 6,202 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak.

“Hasil tangkapan dan rampasan tersebut, kita dapat menyekat penawaran serta menyekat permintaan terhadap dadah dan bahan terlarang di Sarawak.

“Sekatan terhadap penawaran dan permintaan dadah dan bahan terlarang adalah dua strategi utama dalam rantaian Pelan Tindakan MIDS OSC Sarawak,” jelasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru