Friday, July 30, 2021

100 negara perangi varian Delta

Mesti baca

PENULARAN pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 merupakan satu igauan ngeri bagi seluruh masyarakat di dunia. Memasuki tahun 2021, kita mengharapkan wabak tersebut semakin reda, namun ternyata sebaliknya yang berlaku.

Di Sarawak sahaja, kita menyaksikan negeri tersayang ini sering melaporkan kes jangkitan positif Covid-19 yang tinggi sejak beberapa bulan lalu. Sementara di seluruh Malaysia, kita sudah melepasi jumlah 11,000 kes positif harian. Satu angka yang amat besar dan tidak pernah terfikir akan berlaku di negara kita.

Lebih parah apabila ia berpunca daripada varian baharu Covid-19 yang lebih ganas. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, varian Delta itu boleh merebak dalam masa 15 saat sahaja dengan individu yang terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang dari 15 minit dengan jarak satu meter.

Malah, dalam tempoh 15 saat itu, virus tersebut boleh merebak melalui udara. Disebabkan itu, walaupun sudah divaksinasi, kita dinasihatkan untuk kekal memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. Satu kenyataan yang amat mengerikan.

Namun, harus diingatkan bahawa ia belum berakhir di situ kerana beberapa hari lalu Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya dijangka menular ke seluruh dunia.

Menurut WHO, pandemik itu dilihat masih belum reda dan berakhir di dunia. Ia juga menjadi berita buruk ketika hampir 100 buah negara sedang memerangi jangkitan baharu menerusi varian Delta yang pertama kali ditemui di India.

Setakat ini, empat varian menular di peringkat global terdiri Alpha, Beta, Gamma serta Delta yang dikesan boleh merebak dengan pantas. Ia sekali gus, menjadikan lebih sukar untuk menghentikan wabak itu dan WHO mengingatkan perkara lebih buruk boleh berlaku pada masa depan, menunjukkan ‘kemungkinan besar untuk munculnya dan penyebaran global varian baharu lebih berbahaya dan sukar untuk dikendalikan’.

WHO mengisytiharkannya sebagai varian membimbangkan (VOC) selepas dilihat lebih mudah merebak, berbahaya dan berpotensi tidak memberi kesan selepas menerima perlindungan vaksin.

Menambahkan kebimbangan apabila pakar-pakar antarabangsa kini dalam dilema tentang kemungkinan vaksin sedia ada kurang berkesan terhadap jangkitan yang disebabkan oleh varian Delta berbanding strain Covid-19 yang lain.

Portal FirstPost dalam laporannya baru-baru ini melaporkan varian Delta lapan kali kurang sensitif terhadap vaksin antibodi Covid dan lebih mudah berjangkit daripada strain Wuhan.

Kembali ke negara kita sendiri, Dr Noor Hisham meramalkan Malaysia akan mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes positif sehari. Satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh!

Kebimbangan penularan meluas wabak ini tidak boleh lagi dielakkan dan peningkatan jumlah kes dianggarkan sehingga 25,000 kes pada September kelak pasti memberi kesan kepada psikologi rakyat.

Justeru, kita sebagai rakyat harus bersedia dari sekarang untuk menghadapi situasi terburuk yang tidak pernah dijangka ini. Bersedialah dari segi psikologi, terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dan membantu semampu yang boleh sekiranya badai Covid-19 terus melanda.

Ia amat penting dalam mendepani krisis kesihatan yang bukan sahaja memberi kesan kepada nyawa, kelangsungan hidup malah mental rakyat. Namun harapan masih ada apabila kenyataan Dr Noor Hisham turut menyebut sekiranya kita boleh laksanakan 150,000 dos sehari untuk dos kedua dengan 80 peratus keberkesanan vaksinasi, pada Oktober kes harian positif Covid-19 akan turun di bawah 1,000 kes.

Pakar virologi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya Profesor Dr Sazaly Abu Bakar juga ada menjelaskan, secara asasnya vaksin yang dibangunkan sekarang ini menggunakan varian awal yang berasal dari Wuhan, China iaitu lokasi pertama penularan virus Covid-19.

Tegasnya, keberkesanan vaksin kurang sedikit tetapi masih berkesan dan tidaklah sampai memberi impak kepada kebolehan melindung. Yang pentingnya perlu mengambil dua dos.

Justeru, kerajaan harus mempercepat proses pemberian vaksin, perbanyakkan tempat pemberian vaksin, permudahkan proses mendaftar dan sebagainya. Boleh juga dilaksanakan suntik dahulu daftar kemudian supaya kita lebih bersedia menghadapi hari mendatang jika muncul varian baharu yang lebih ganas.

Secara Rawak

Artikel Terbaru