Tuesday, September 21, 2021

Isteri sarat mengandung cedera parah, suaminya maut

Mesti baca

SIBU: Lelaki maut manakala isterinya yang sarat mengandung tujuh bulan cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar belakang lori yang sedang berhenti di Jalan Tun Abg Hj. Openg, berhampiran Everwin Trading di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.15 petang semalam ketika pemandu lori terbabit berhenti di lorong kiri jalan kerana hendak membuat pemeriksaan terhadap lori yang mengalami kerosakan.

“Namun semasa sedang membuat pemeriksaan, motosikal yang dinaiki mangsa telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mangsa lelaki yang berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Sibu.

Manakala isterinya, juga berusia 17 tahun cedera parah dan telah dibawa ke Hospital Sibu.

Stanley berkata pemandu lori terbabit juga telah ditahan untuk siasatan lanjut dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Secara Rawak

Artikel Terbaru