Friday, October 22, 2021

“Berakhirnya” rasuah di Malaysia (pada masa akan datang)

Mesti baca

Mampukah kita membasmi dan menghilangkan budaya rasuah dan kerakusan yang sudah menjadi endemik – serta “diinstitusikan” – dalam masyarakat kita sehingga akhirnya memudar seperti teori Marxis lama tentang “kelenyapan institusi kenegaraan”?

Atau pun mestikah kita berpuas setakat dalam memastikan bahawa rasuah terkawal serta terus tidak melampaui batas “had munasabah” tertentu kerana, seperti jenayah lain, itu adalah hakikat yang tidak mampu dibasmikan secara langsung dan dengan sepenuhnya?

Rasuah merupakan jenayah yang berbeza dari kesalahan “kecil” (mis., kecurian) atau kesalahan serius (mis., rompakan bersenjata) yang melibatkan kerugian wang oleh kerana niat dan persetujuan kedua-dua pihak, iaitu pemberi dan penerima.

Dengan kata lain, rasuah dan suapan/sogokan bertujuan untuk memberi manfaat kepada pihak yang terlibat. Setiap orang mendapat sebahagian atau agihan masing-masing, pada penghujung harinya.

Keinginan untuk memberi atau menerima rasuah jauh lebih naluriah atau impulsif berbanding dengan keinginan mencuri. Ini adalah kerana keinginan mencuri hanya melibatkan satu pihak dan merupakan tindakan kejahatan yang terang-terangan dan “terbuka”.

Bagi mereka yang berkuasa, mencuri mengambil bentuk rasuah (kecuali jika seseorang itu adalah diktator mutlak atau maha zalim). Oleh itu, rasuah jauh lebih rentan terhadap rasionalisasi, justifikasi dan normalisasi kerana dapat dengan mudah diterima masyarakat sebagai “mencari rezeki” atau sebagai “dorongan untuk mengerjakan tanggungjawab” setakat yang diharapkan si penyuap – sebagai alasan biasa untuk kerakusan politik atau pentadbiran/birokrasi.

Oleh itu, rasuah boleh dianggap sebagai “keabsahan” (tersirat) (seperti dalam penginstitusian) atau “separa-keabsahan” jenayah oleh negara hanya kerana ia mempunyai kuasa dan alat untuk melakukannya.

Dengan was-was, dapat dikatakan bahawa dalam sistem bukan totalitarian/bukan autokratik, kognitif disonan antara realiti rasmi (iaitu, toleransi sifar untuk rasuah) dan realiti tidak rasmi (iaitu toleransi atau toleransi tinggi terhadap rasuah) mungkin hanya wujud kerana “persetujuan” dan “penerapan” masyarakat.

Akan tetapi ianya mungkin juga bahawa orang awam tidak mempunyai pilihan tulen atau diberikan pilihan Hobson: Sama ada rasuah (juga dikenali sebagai “memberi habuan”/duit kopi dalam bahasa kita sendiri) atau berdepan dengan akibatnya (mis., membayar denda bagi saman dikeluarkan atau kelewatan memproses permohonan untuk menukar status tanah pertanian menjadi komersial).

Pada hal, orang ramai juga boleh menyemarakkan dan mengumpulkan iltizam individu dan kolektif mereka untuk menentang godaan menyogok dan menyokong semua langkah untuk membendung dan akhirnya mengatasi budaya rasuah.

Jiran terdekat kita Singapura telah mencapai dan terus menunjukkan prestasi baik dalam reputasinya sebagai sebuah negara yang bebas dari rasuah. Kedudukan dan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 masing-masing adalah 3/180 dan 85/100.

Singapura – dengan versi kapitalismenya sendiri – mungkin boleh memberikan “pengajaran paling instruktif”.

Pada hari terakhir pilihan raya tahun 1980, seperti kebiasaan dalam tempoh berkempen, mendiang En Lee Kuan Yew memberikan ucapan terakhir Parti Tindakan Rakyat (PAP). Dalam salah satu ucapannya yang tidak dapat dilupakan, bekas Perdana Menteri tersebut melaporkan kepada para pengundi berkumpul di Fullerton Square pada hari itu.

En Lee telah menceritakan mengenai perjumpaannya dengan juruterbang tertentu dari Persatuan Juruterbang Penerbangan Singapura (Siapa) yang tidak mematuhi peraturan kerja yang telah dilaksanakan (iaitu dalam bentuk “mogok minima”), sehingga menyebabkan gangguan jadual penerbangan.

Tanpa segan silu, En Lee telah memberi amaran keras kepada juruterbang tersebut bahawa beliau akan “dengan segala cara yang saya ada untuk mengajar anda serta mendapatkan rakyat Singapura untuk menyokong saya memberikan satu pengajaran yang tidak akan anda lupakan”.

Di situlah terletak kuncinya dalam memerangi rasuah untuk memastikan ianya “layu” pada akhirnya.

Iaitu, bagi kerajaan. Dari pemimpin atasan hingga penjawat awam barisan hadapan.

Yakni, untuk menyemarakkan rakyat dan “meraihkan” sokongan mereka untuk memperkuat niat dan iltizam politik serta menimbulkan rasa ketakutan di kalangan anasir/elemen perasuah.

Dalam artikel EMIR Research berjudul, “Mengatasi sindrom kartel” (9 Julai), kami berbicara tentang reformasi moral yang berasal daripada individu dan bergerak daripada dalaman ke luaran untuk dijelmakan masyarakat secara keseluruhan.

Di sini, tekad rakyat bersinergi dan bersatu dengan kehendak politik kerajaan dalam memerangi kejahatan rasuah.

Dalam analisis terakhir, sama ada berteraskan contoh Singapura atau pengalaman negara-negara lain, kerajaan memperolehi mandat dan amanah, keazaman/tekad dan kekuatannya untuk mengalahkan rasuah dari (sokongan) rakyat sendiri.

Adalah diharapkan pemimpin dan pentadbir kita serta penguatkuasa undang-undang (termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/SPRM) jangan sekali-kali lupakan hakikat ini.

Dr Rais Hussin dan Jason Loh Seong Wei merupakan sebahagian daripada merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik di EMIR Research.

Secara Rawak

Artikel Terbaru