Friday, July 30, 2021

Tin kosong, omong kosong menteri

Mesti baca

PADA Isnin lalu, 12 Julai 2021, heboh di alam maya tentang ucapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. Ucapan itu tular bukan sangat kerana kehebatan isi kandungannya, tetapi ia mengandungi banyak kesilapan dari segi bahasa dan fakta. Tanda pagar #Spanishfly trending di Twitter. Bahasa yang digunakan menteri itu ialah bahasa rojak, campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa yang disifatkan sebagai setengah belut, setengah ular.

Yang mengejutkan, dalam masa kurang daripada seminit, terdapat sekurang-kurangnya empat kesilapan fakta. Maka, tidak hairanlah banyak netizen yang menjadikan ucapan itu sebagai bahan ejekan, kecindan, jenaka, parodi dan meme.

Menyampaikan ucapan di Universiti Putra Malaysia, Dr. Adham berkongsi sekitar tahun 1916, ‘Spanish Fly‘ pernah mengorbankan hampir sejuta orang di seluruh dunia selama dua tahun.

Sesudah menyedari kesilapannya, menteri yang pernah terjebak dalam kontroversi sebelum ini, membetulkan semula dengan menyebutkan Selesema Sepanyol yang pernah menyebabkan ramai kematian di seluruh dunia tanpa memberi angka spesifik.

Hakikatnya, bagi mereka yang mengenali sejarah dan membaca buku sejarah tentang pandemik berkenaan, ia bukan berlaku pada 1916, tetapi 1918 hingga 1920. Anda boleh sahaja membaca lebih daripada 20 buku bukan fiksyen berkaitan pandemik berkenaan.
Yang terkemuka termasuk The Great Influenza karya John M. Barry, Pandemic 1918 tulisan Catharine Arnold dan Influenza karya Dr Jeremy Brown.

Bagi yang meminati karya fiksyen berdasarkan pandemik berkenaan, sekurang-kurangnya 90 buku sudah diterbitkan, termasuk A Death: Stuck Year karya Makiia Lucier, The Last Town on Earth tulisan Thomas Mullen, They Came Like Swallow nukilan William Maxwell, This Time of Dying garapan Reina James, dan An Unmarked Grave oleh Charles Todd.
Maksudnya, bagi yang serius hendak mengetahui duka lara dunia ketika itu dapat sahaja memilih mana-mana buku. Jadi, tidak ada sebab untuk tidak mengetahuinya.

Jelas, angka korban bukan sejuta seperti disebutkan oleh pak menteri, tetapi menurut banyak buku yang saya baca, sebenarnya sekitar 50 juta.

Disebabkan dunia berdepan Perang Dunia Pertama, banyak maklumat tentang pandemik maut itu disembunyikan, termasuk korban melibatkan tentera bagi memastikan semangat juang tidak terjejas. Malah, dipercayai satu per tiga daripada 1.8 bilion penduduk dunia dijangkiti. Jumlah kematian jauh lebih banyak daripada korban Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Covid-19 kini menjangkiti sekitar 190 juta juta orang dengan lebih empat juta kematian di seluruh dunia.

Berbanding Covid-19 setakat ini yang sudah menyaksikan lebih dijangkiti, pandemik berkenaan menjangkiti 500 juta orang. Seyogia diingat, ia malah sampai ke Semenanjung Tanah Melayu.

Spanish Fly yang dirujuk menteri itu sebenarnya ialah Spanish Flu atau Selesema Sepanyol.

Sedangkan ‘Spanish Fly‘ ialah seekor serangga daripada keluarga kumbang yang berwarna hijau zamrud. Malah, serangga ini dikaitkan dengan perangsang seks atau perumusan aphrodisiac.

Inilah akibatnya apabila seseorang tersalah atau tersasul menyebut sesuatu perkataan. Maksud dan ertinya berubah daripada krisis kesihatan kepada perangsang seks sehingga tidak hairan, ia mencuri perhatian di media sosial. Tidak hairanlah ahli politik terbabit dijadikan bahan jenaka oleh pelbagai pihak terutamanya oleh musuh politiknya. Kesian.
Ya, bukan mudah menjadi menteri pada zaman media sosial.

Saya hendak nyatakan, amat penting bagi mana-mana menteri dan pemimpin politik untuk menguasai isu dan persoalan yang diperkatakan melalui ucapan, sidang media, taklimat dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi jika membabitkan isu sensitif. Jika tidak, akan berlaku kejadian seperti yang menimpa Dr. Adham. Tidak ada alasan untuk menteri tidak dapat bersedia. Mana-mana menteri pasti punya pegawai dan kakitangan untuk membantu beliau melakukan penyelidikan.

Kunci kepada ucapan yang baik ialah penyelidikan. Daripada penyelidikan, seseorang yang tekun akan memperoleh segala jenis logos atau dalil untuk menguatkan ucapannya bagi memudahkannya meyakinkan khalayaknya. Antara logos yang dapat menguatkan ucapan ialah fakta sejarah, statistik, testimoni, contoh, anekdot dan analogi.

Pemimpin politik perlu mengemukakan data, fakta dan maklumat yang tepat. Tidak ada ruang baginya membuat kesilapan, lebih-lebih lagi, dia bercakap di sebuah universiti, di hadapan khalayak yang berilmu.

Dalam dunia yang dikuasai media sosial, apa-apa yang diucapkan, akan segera beredar di alam maya dan tidak mungkin dapat ditarik balik atau dinafikan. Tentu pemimpin politik tidak mahu terperangkap dalam satu situasi yang kemudiannya memalukannya. Bukan hanya kerana bahasanya silap, tetapi lebih memalukan faktanya salah.

Ucapan yang baik harus menggunakan bahasa yang jelas, mudah, dan betul dari segi tatabahasa dan struktur ayat. Amat menjengkelkan apabila dalam satu ayat seseorang pemimpin mencampuadukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Kalaupun hendak menggunakan kedua-dua bahasa sekalipun, biarlah keseluruhan ayat, perenggan atau wacana berkenaan dalam satu bahasa. Anda boleh sahaja menggunakan kedua-dua bahasa itu dalam satu ucapan. Jangan fikir menggunakan bahasa rojak sewenang-wenangnya akan membantu atau menyebabkan imej anda melonjak. Jangan fikir dengan menggunakan bahasa Inggeris anda fikir wibawa anda akan menyerlah.

Sebaliknya, khalayak akan lebih menghormati pemimpin yang menggunakan bahasa yang teratur, jelas dan meyakinkan.

Sebaik-baiknya, manfaatkanlah teknik retorik seperti triad, soalan retorik, metafora, peribahasa dan unsur-unsur bahasa yang lain bagi mengindahkan dan menguatkan lagi kesan penyampaian.

Ini membabitkan ethos, iaitu nilai persuasif pengucap, sama ada dia seorang yang berwibawa dan dapat dipercayai atau tidak.

Untuk tampil sebagai pengucap atau pemimpin yang memiliki pesona, wibawa dan integriti, dia mesti memperlihatkan unsur kecerdikan, kecergasan, berilmu, bermoral tinggi, jujur, dan arif tentang perkara yang disampaikannya. Tidak hairanlah, Aristotle pernah menganggap ethos sebagai ciri paling penting dalam pemujukan ucapan.

Sebab, sekiranya khalayak tidak memberi penilaian yang baik terhadap pemidato dan pemimpin terbabit, maka dengan sendirinya dua elemen pemujukan lain dalam ucapan — logos dan pathos — akan dipandang rendah oleh khalayak.

Jangan ambil mudah khalayak. Khalayak dan rakyat tidak mahu membuang masa mereka mendengar ucapan daripada pemimpin tong kosong atau omong kosong. Biarlah ucapan yang disampaikan berisi dan mengandungi fakta baharu dan betul. Tentu akan lebih merisaukan dan meletihkan bagi khalayak jika, ucapan berkenaan disampaikan dengan bahasa yang tidak menarik, gaya yang membosankan, dan tidak bermaya.

Isi kandungan ucapan yang berkualiti ialah yang dapat memberi faedah dan dapat membantu rakyat. Bukankah ucapan itu untuk memberitahu, mendidik, memujuk, menukarkan pendirian khalayak dengan cara yang menarik dan menghiburkan?

Justeru, pemimpin politik perlu membeli dan membaca banyak buku, akhbar dan majalah. Kalau tidak, ucapannya akan kedengaran basi, berulang, monotonous, dan tidak mengandungi sesuatu yang baharu. Ucapan yang baik sebenarnya perlu mengemukakan data, fakta, idea, pengalaman, anekdot, humor, cadangan, dan pandangan baharu. Kalau tidak, jangan hairan, ada audiens yang akan berpura-pura mendengar ucapan anda, tetapi sebenarnya fikiran mereka melayang ke tempat lain. Atau bukan mengejutkan, akan ada yang membaca sesuatu melalui telefon pintar mereka dan bercakap-cakap sesama sendiri.

Untuk itu, saya hendak mencadangkan agar semua pemimpin politik membeli dan menelaah dan mengamalkan panduan dalam buku The Political Speechwriter’s Companion karya Robert A.Lehrman dan Eric Schnure. Ini antara buku terbaik ketika ini dalam bidang teknik ucapan yang berkesan yang tentunya dapat membantu menyerlahkan citra dan wibawa pemimpin politik.

Siapa tahu selepas membaca buku itu, tidak akan berlaku kejadian seperti yang menimpa Menteri Kesihatan tempoh hari. Apabila sudah berlaku kejadian sedemikian, maka ia akan memukul teruk imej dan reputasi seseorang sebagai pemimpin. Sedangkan sebenarnya wibawa, integriti dan peribadi pemimpin perlu dipelihara.

Bagi saya, pemimpin politik perlu memelihara dan memperagakan ethos, logos dan pathos yang menyerlah ketika ketika menghadapi khalayak. Maaf cakap, saya tidak akan hormat kepada pemimpin dan menteri yang mengabaikan aspek berkenaan dalam ucapannya. Menteri harus serius dalam apa-apa yang dilakukannya, termasuk ketika berdepan dengan khalayak dan rakyat kerana khalayak bukan dungu dan paloi.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru