Friday, July 30, 2021

Sumbangan pegawai penjajah British terhadap bahasa Melayu

Mesti baca

TIDAK banyak diperkatakan tentang sumbangan pegawai penjajah di negara ini dalam perkembangan dan pertumbuhan bahasa Melayu. Kita perlu melihat sumbangan mereka  secara adil dan objektif dan tidak boleh bersikap sendeng. Seyogia diingat, dalam usaha untuk benar-benar memahami dan menakluki masyarakat dan negara yang dijajah, penjajahan British mewajibkan pegawainya mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

Yang menarik, ada daripada mereka muncul sebagai sarjana penting peringkat awal dalam bahasa melayu seperti R.O Winstedt, R.J.Wilkinson, C.C Brown, W.G Shellabear, O.T. Dussek, dan J.Crawfurd.

Sesungguhnya, tidak mungkin bagi mana-mana penjajah di dunia untuk menakluki sesebuah negara atau masyarakat  jika mereka tidak mengkaji aspek bahasa dan sosiobudaya masyarakat berkenaan. Itulah sebabnya, satu daripada langkah awal penjajah British adalah dengan menjalankan penyelidikan  mendalam dan menyeluruh terhadap profil demografi, sosial, bahasa dan budaya masyarakat terbabit.

Dengan cara itu, mereka bukan sahaja dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan bermakna dan berkesan, tetapi juga memahami psikologi, pemikiran, tabiat dan tingkah laku masyarakat tersebut. Ini tidak terkecuali berlaku di Malaya apabila mereka mengumpul hikayat, cerita lisan, cerita klasik Melayu, legenda, mitos dan sebagainya.

Richard James Wilkinson dilahirkan di Greece pada 1876 berkelulusan dalam Indian Civil Service berkebolehan dalam bahasa Melayu, malah beliaulah yang mencadangkan penubuhan Maktab Melayu Melaka pada 1889, bertujuan melahirkan guru-guru Melayu yang terlatih. Apakah sumbangan beliau terhadap bahasa Melayu?

Sumbangan beliau tidak ternilai dari segi penyusunan awal kamus Melayu. Kamus dua jilid terkenal yang disusun beliau ialah Malay-English Dictionary pada 1901, dengan meneliti makna berdasarkan maksud yang diberi oleh orang Melayu sendiri.

Malah, beliaulah pegawai British pertama yang sumbangan signifikan dalam menghasilkan sistem ejaan rumi bahasa Melayu. Untuk itu, satu jawatankuasa dibentuk oleh Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri Melaka Bersekutu untuk mengkaji dan mewujudkan sistem ejaan Rumi. R.J.Wilkinson akhirnya berjaya menghasilkan sistem ejaan Rumi yang dikenali sebagai Sistem Ejaan Wilkinson.

Sesungguhnya, tanpa sumbangan pegawai terabit, tentu sukar untuk pegawai british menguasai bahasa itu, selain sukar untuk bahasa Melayu berkembang pada peringkat awal. Jadi, kita tidak dapat menafikan peranan dan sumbangan mereka.

Secara Rawak

Artikel Terbaru