Tuesday, September 21, 2021

Sokong agenda martabatkan bahasa

Mesti baca

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sentiasa komited menyokong usaha dan agenda memartabatkan bahasa, sastera, seni dan budaya di Sarawak.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, di samping dapat mengetengahkan nilai kearifan tempatan, kegiatan seni akan memberi manfaat membantu memperkenalkan industri pelancongan Sarawak.

“Kita sedia maklum bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, seni budaya dan bahasa malah fahaman ini diwarisi sejak dulu.

“Justeru, masyarakat perlu memahami dan mendapat penjelasan mengenai khazanah kebudayaan, kesenian dan tempat menarik yang menjadi aset pelancongan negeri dan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, kepelbagaian juga perlu dibicarakan dalam sesi perkongsian ilmu mahupun dipertontonkan melalui persembahan kebudayaan dan juga kesenian supaya kebitaraan kehidupan masyarakat di Sarawak dapat dikongsi dengan dunia.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Webinar Kebitaraan Negeri Sarawak 2021 Pemerkasaan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Melalui Kearifan Tempatan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak melalui aplikasi Zoom, pada Sabtu.

Mengulas mengenai webinar berkenaan, beliau menjelaskan ia sangat penting sebagai medium untuk menyebar luas khazanah sastera seni dan budaya Sarawak melalui nilai intelektual.

Jelasnya, nilai intelektual melibatkan soal kesusasteraan, kebangsaaan dan juga kebudayaan Sarawak yang harus dan wajar dimartabatkan.  “Penganjuran majlis perkongsian ilmu seperti ini amat digalakkan kerana ia memberi manfaat kepada peserta dan menyumbang kepada kearifan tempatan.

“Saya berharap agar usaha melaksanakan webinar ini dilihat sebagai satu langkah positif untuk menyebar luaskan hubungan kesusasteraan, kebudayaan, kesenian dan juga bahasa dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Sarawak,” katanya.

Beliau menggesa ketua jabatan kerajaan menyediakan ruang dan memberi inisiatif kepada kakitangan yang berbakat dan boleh diketengahkan bagi menjayakan agenda negara di peringkat yang lebih tinggi.

“Kerajaan Sarawak sangat mengalu-alukan kakitangan awam untuk memanfaatkan segala peluang dan ruang yang ada bagi menjayakan aktiviti seperti webinar kebitaraan negeri Sarawak ini.

“Saya berharap sokongan agensi  kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dapat merealisasikan impian mewujudkan sebuah negara yang cemerlang malah dapat melahirkan golongan berfikiran kelas pertama selaras dengan usaha menjadikan Sarawak negeri maju menjelang tahun 2030,” tambahnya.

Ujar Karim, sejak 2020 walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, DBP Cawangan Sarawak berjaya melaksanakan beberapa projek secara dalam talian yang bersifat kegiatan atau penyelidikan dengan mengamalkan norma baharu seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Melihat kepada usaha DBP Cawangan Sarawak termasuk webinar ini, kementerian juga berbesar hati menyalurkan geran tahunan untuk tujuan kegiatan seminar dan webinar kebitaraan negeri ini setiap tahun,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru