Wednesday, September 22, 2021

 Covid-19: Tiada kategori terperinci, cetuskan panik

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pendedahan data yang lebih terperinci sepatutnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan.

Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hanya dengan data yang terperinci, berbanding sekadar angka keseluruhan secara umum, membolehkan kita untuk mengetahui dengan jelas dan lengkap keadaan sebenar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula menerbitkan data jangkitan positif harian dengan lebih terperinci mulai Sabtu.

Untuk rekod, jumlah kes harian kini dicerakinkan mengikut kategori sama ada 1,2,3,4 atau 5.

“Ini kerana, mereka yang berada dalam kategori 1 dan 2 sebenarnya mempunyai risiko yang rendah dan perlu diuruskan dengan cara yang jauh berbeza dengan mereka yang berada dalam kategori 3 atau pun 4 dan 5,” kata beliau.

Kategori satu merujuk tiada gejala, kategori 2 gejala ringan, kategori 3, jangkitan paru-paru, kategori 4, jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, dan kategori 5, jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.

“Pendekatan pukul rata yang diambil oleh kerajaan selama ini bukan sahaja menimbulkan rasa panik, takut dan kerisauan yang berlebihan. Malah, menyebabkan kerugian serta kegagalan dalam menguruskan aspek ekonomi,” katanya lagi.

Sedangkan tegas beliau, strategi pemulihan ekonomi sangat bergantung pada data dan sains yang jelas dan terperinci.

“Malah, kerajaan tidak boleh melatah jika ada pihak yang mendakwa bahawa keengganan kerajaan mendedahkan data secara terperinci selama ini bermotifkan politik. Misalnya untuk menjustifikasi dan memanjangkan tempoh darurat,’ katanya lagi.

Beliau berharap kerajaan akan memberi penekanan yang lebih serius terhadap data dan bertindak berpandukan data dan sains yang terperinci.

“Bukannya dipimpin oleh pertimbangan lain yang hanya merugikan rakyat dan negara,” tegasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru