Monday, August 2, 2021

Spanish Flu, Spanish Fly: Antara pandemik dengan perangsang seks

Mesti baca

ISU Selesema Sepanyol atau Spanish Flu kembali hangat selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba tersalah sebut dengan Spanish Fly dalam satu ucapan pada Isnin lalu. Perbezaan antara Spanish Flu  dengan Spanish Fly adalah bagai langit dengan bumi. Yang satu berkaitan dengan pandemik, manakala yang  satu lagi berkaitan cecair perangsang seks.

Saya tidak pasti berapa ramai rakyat di negara ini benar-benar tahu secara mendalam bahawa pernah berlaku pandemik yang seteruk Covid-19 lebih seratus tahun lalu. Hakikatnya, bagi sebahagian besar warga dunia, Selesema Sepanyol 1918 merupakan pandemik yang dilupakan dan tidak banyak diketahui.

Walhal, sekurang-kurangnya 20 buku telah ditulis mengenainya termasuk yang terkenal The Great Influenza karya John M. Barry dan The Story of the Great Influenza Pandemic of 1918 tulisan Gina Kolata.

Buku Barry wajib ditelaah kerana ia begitu informatif dan menarik. Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk menyelidik dan menulis buku yang mengisahkan pandemik yang mulai tercetus di Kansas, Amerika Syarikat (AS). Malah, lebih daripada 90 judul buku fiksyen ditulis mengenainya.

Pandemik Selesema Sepanyol yang berlaku selama dua tahun mulai 1918 mengorbankan sekurang-kurangnya 50 juta orang dan menjangkiti 500 juta orang dalam tempoh itu. Disebabkan dunia berdepan Perang Dunia Pertama, banyak maklumat tentang pandemik maut itu disembunyikan, termasuk korban melibatkan tentera bagi memastikan semangat juang tidak terjejas.

Malah, dipercayai satu per tiga daripada 1.8 bilion penduduk dunia dijangkiti. Jumlah kematian jauh lebih banyak daripada korban Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Covid-19 kini menjangkiti hampir 190 juta  juta orang dengan lebih empat juta kematian di seluruh dunia.

Untuk meletakkan angka ini dalam perspektif yang betul dan mudah difahami, penyakit AIDS mengorbankan 11.7 juta sepanjang 1997, Perang Dunia Pertama 9.2 juta tentera di medan perang dan 15 juta kematian keseluruhannya. Perang Dunia Kedua menyaksikan 15.9 juta tentera barisan hadapan mati.

Alfred Crosby, sejarawan persekitaran menyatakan bahawa “pandemik 1918 telah membunuh lebih banyak manusia daripada penyakit lain dalam tempoh sama dalam sejarah dunia.” Wabak itu membunuh 2.5 peratus daripada mereka yang dijangkiti.

Dalam sebulan penyakit itu menyerang Philadelphia, 11,000 orang mati. Pada 10 Okt 1918 sebanyak 759 orang menjadi mangsa di situ. Memetik kata seorang doktor di sebuah hospital, “seorang pesakit masuk dari satu pintu, satu mayat keluar dari pintu lain.” Di Kem Sherman, Ohio,13,161 orang — kira-kira 40 peratus daripada mereka di kem itu — dijangkiti selesema berkenaan antara 27 Sept dan 13 Okt 1918. Daripada jumlah itu, 1,101 meninggal dunia. New York, seperti sekarang, juga diancam teruk  pandik pada 1918.

Yang menariknya, virus yang menyebabkan pandemik berkenaan terus dikaji apabila terdapat saintis menggali kubur mangsa pada 1951 dan 1997. Mayat di sebuah perkampungan di Norway dan kawasan Artik digali semula kerana dipercayai hanya di kawasan berkenaan virus di tubuh mayat masih hidup. Di sebuah perkampungan di situ, daripada 80 penduduk, hanya tujuh orang selamat.

Tiada batas sempadan

Pandemik Covid-19 yang mulai muncul di Wuhan, China pada akhir 2019 sewajarnya menggerakkan kita untuk mengetahui malapetaka yang berlaku pada 102 tahun lalu. Pandemik itu merebak hingga ke dunia sebelah sini termasuk Singapura, Thailand dan Tanah Melayu malah, seramai 40,000 orang terkena jangkitan di Malaya.

Seperti Covid-19, selesema Sepanyol tidak mengira batasan, warna kulit, bangsa dan status sosial. Jika virus itu menyerang pemimpin dunia seperti Perdana Menteri British Boris Johnson, pandemik 1918 juga menjangkiti Perdana Menterinya Lloyd George. Malah, Presiden Brazil Brorigues Alves meninggal dunia angkara selesema Sepanyol.

Kita perlu belajar daripada sejarah. Banyak untungnya jika kita memahami bagaimana pandemik 1918 itu menular. Memang terdapat pandemik lain sebelum itu, termasuk Black Death.

Black Death menyerang selepas Eropah pada amnya selamat daripada pandemik selama tiga kurun. Hanya dalam beberapa tahun dari 1347 hingga 1351, Black Death mengorbankan satu pertiga daripada penduduk Eropah. Negara paling teruk dilanda pandemik 1918 ialah negara miskin.

Lebih banyak wanita maut berbanding lelaki dalam pandemik 1918 manakala Covid-19 menyaksikan lebih banyak lelaki meninggal dunia.

Kebanyakan yang terkorban dalam Covid-19 adalah golongan berusia lebih daripada 60 tahun manakala pandemik selesema Sepanyol mengorbankan golongan muda berusia antara 10 tahun hingga 40 tahun. Kapal menjadi satu daripada tempat utama tersebarnya virus berkenaan sehingga banyak mayat yang terpaksa dibuang ke dalam laut terutamanya membabitkan tentera AS dan Britain.

Wanita hamil berisiko besar dijangkiti virus ini. Selesema Sepanyol mengorbankan 550,000 orang di AS, lima kali ganda tenteranya yang terkorban di medan perang. Di Eropah, jumlah maut ialah dua juta orang.

Di England dan Wales dianggarkan 200,000 orang iaitu 4.9 setiap 1,000 penduduknya terkorban. Novelis Amerika John Steinbeck, pengarang, Mary McCarthy, bintang filem, Lillian Gish, Groucho dan Walt Disney pulih selepas dijangkiti virus itu.

Pentingnya penjarakan  fizikal

Walaupun istilah semasa 2020 tidak digunakan pada 1918, namun mereka sedar akan pentingnya jarak sosial dan jarak fizikal. Betapa tidak, perhimpunan ramai tidak dibenarkan sehingga sekolah, gereja, panggung wayang dan sebagainya diarah tutup.

Di negeri yang mengamalkan perintah sekatan pergerakan, kadar kematian lebih rendah berbanding dengan yang tidak mengamalkannya.

Umpamanya,  Philadelphia, sebuah kota padat, terpukul teruk kerana tidak begitu mempedulikan jarak sosial. Sebaliknya, misalnya San Francisco bertindak agresif mengekang penyebarannya dengan melaksanakan ‘lockdown’. Presiden AS dan rakyatnya, malah dunia seharusnya mengambil iktibar daripada pandemik 1918.

Antara gejala Covid-19 ialah selesema, batuk, hilang deria rasa dan hidu, cirit-birit, demam dan keletihan. Gejala selesema Sepanyol antara lain ialah pening kepala, batuk kering, demam, keletihan, kesejukan, dan hilang selera. Gejalanya diketahui antara 24 jam hingga empat atau lima hari. Selesema Sepanyol disifatkan menular pantas dan agresif.

Ketika kita diserang Covid-19 dan semasa Selesema Sepanyol melanda dunia, semua warga dunia dan anggota barisan hadapan dinasihati memakai topeng hidung dan mulut bagi mengelak jangkitan.

Imej ketara selesema ini ditandai dengan pemakaian topeng hidung dan mulut. Walaupun ada yang menyifatkannya tidak banyak membantu, namun ia menjadi ikon pandemik.

Di banyak kota dan bandar, menjadi satu kesalahan jika tidak memakainya. Anggota polis dan keluarga memakai topeng mulut dan hidung malah, daripada gambar didapati bahawa anjing dan kucing juga memakai topeng ketika itu.

Punca virus berkenaan masih lagi didebatkan dan dikaji sehingga kini. Ada yang berkata bahawa ia berasal dari medan perang di Perancis, namun ada yang menegaskan ia berasal dari China yang kemudiannya menular ke AS dan Eropah.

Ya, zaman perang seperti zaman ini, pandemik 1918 turut sarat dengan teori konspirasi. Tidak hairanlah seperti mana Covide-19, ada ramai yang percaya pandemik 1918 adalah bikinan manusia.

Sesungguhnya, mengenali dan mengetahui virus yang membawa pandemik dahsyat sebelumnya perlu sebagai persiapan menghadapi virus baharu. Covid-19 pasti bukan virus terakhir yang akan menyerang dunia. Ancaman virus maut sama dahsyat dan berbahaya seperti serangan pengganas.

Ya, dengan varian baharu termasuk Delta yang kian mengganas, kita perlu terus lebih berjaga-jaga. Kita tidak lagi boleh terkurung di dalam rumah untuk sekian lama. Manakala sektor ekonomi dan kehidupan perlu segera kembali ke keadaan sebelum pandemik ini melanda dunia.

Secara Rawak

Artikel Terbaru