Monday, December 5, 2022

Empat sekeluarga di Kuching terperangkap, kereta masuk ke dalam parit

Secara Rawak

KUCHING: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak terperangkap selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit sedalam tujuh kaki di Jalan Camar berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sakura, semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, laporan insiden yang diterima sekitar jam 9.20 malam itu berlaku selepas kenderaan terbabit difahamkan mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.

Tambah kenyataan tersebut, sepasukan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.

Jelasnya, tindakan pantas sekumpulan orang awam termasuk penghantar makanan GrabFood yang berada di lokasi dengan terjun ke parit berjaya menyelamatkan kesemua mangsa daripada terkurung di dalam kenderaan tersebut.

“Komander operasi bomba lapor bahawa terdapat empat mangsa berada di dalam kenderaan terbabas iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa bersama dua kanak-kanak.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang telah bertindak sebagai responder pertama bagi mengelakkan mangsa terperangkap di dalam kereta yang sudah mula dimasuki air,” kata kenyataan itu semalam.

Hasil pemeriksaan awal pasukan operasi jelasnya, kesemua mangsa dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sejurus selepas itu katanya kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menerusi kenderaan kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan segera.

Dalam pada itu kenyataan tersebut turut merakamkan penghargaan atas tindakan pantas orang awam (responden pertama) dalam usaha membantu mangsa-mangsa selamat daripada kemalangan.

Terdahulu, sekurang-kurangnya seramai 12 orang individu orang awam termasuk penghantar makanan GrabFood yang terjun ke dalam parit sedalam tujuh kaki dan selebar empat kaki demi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan terbabas itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru