Tuesday, June 28, 2022

CanSino untuk penduduk luar bandar Sarawak 

Secara Rawak

MIRI: CanSino, vaksin dos tunggal dijangka tiba akhir bulan ini bagi menjayakan program vaksinasi  bagi kegunaan penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, penggunaan vaksin berkenaan di luar bandar akan memudahkan mereka di luar bandar, tanpa perlu datang untuk kali kedua ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), yang  tentu membebankan dan menyusahkan.

“Justeru kita memberikan mereka  CanSino. Walaupun satu dos, mereka tetap memiliki perlindungan secukupnya. Ini akan memberikan keselesaan kepada penduduk terbabit,” kata Datuk patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di PPV Dewan Curtin di Universiti Curtin (Kampus Sarawak) di Senadin, di sini, semalam.

Beliau difahamkan ada daripada masyarakat Penan tidak dapat datang untuk menerima suntikan kedua, disebabkan kos dan jarak yang jauh.

“Ketika ini terdapat dua vaksin,  CanSino dan Johnson & Johnson. Tapi kita telah membuat keputusan untuk membeli CanSino,” jelasnya.

Pada bulan lalu, Kerajaan Sarawak memohon bekalan 600,000 dos Cansino daripada Kerajaan Persekutuan.

Vaksin Covid-19 yang dibangunkan CanSino Biologics, sebuah syarikat dari China dan vaksin Janssen oleh J&J dari Amerika Syarikat turut diberi kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, beliau  yakin Sarawak dapat mencapai sasaran 80 peratus populasinya menerima vaksinasi menjelang akhir Ogos ini.

Menurut Ketua Menteri, ini berdasarkan pencapaian sehingga kini yang menyaksikan seramai 1.5 juta orang sudah menerima dos pertama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru