Friday, July 30, 2021

Bencana berganda akan menimpa rakyat jika masalah ekonomi gagal ditangani

Mesti baca

KUALA LUMPUR:  Bencana berganda  akan menimpa jika kerajaan gagal untuk menangani masalah ekonomi rakyat di negara ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menerusi ciapan di Twitternya, beliau berkata hampir kesemua sektor negara terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, Malaysia telah melepasi angka 900,000 kes jangkitan Covid-19 semalam.

“Hampir semua peruncit tempatan terjejas tentunya sektor lain juga seperti pelancongan, pembinaan, penerbangan, pengangkutan, perkhidmatan dan lain-lain.

“Tindakan polisi fiskal, ekonomi mikro dan makro mesti ditingkatkan segera,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi ciapan yang berbeza Ahli Parlimen Pontian itu juga meluahkan kebimbangan ekoran nilai Ringgit yang terjejas.

Katanya, keadaan ini berkait rapat dengan sektor ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Oleh kerana sempadan negara ditutup, tiada faedah untuk sektor pelancongan. Barangan import jadi lebih mahal.

“Terbaik jika Ringgit kembali stabil, negara mesti lebih berdikari dan kurangkan import terutama makanan,” kata beliau lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru