Tuesday, September 21, 2021

Kuching bandar raya terbersih mampu dikekalkan…

Mesti baca

KUCHING: Status Kuching sebagai bandar raya terbersih di Rantau Asia Pasifik mampu dikekalkan sekiranya semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab dalam menjaga kebersihan di bandar ini.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan berkata, perkara tersebut juga pernah menjadi kebanggaan semua pihak suatu ketika dahulu dan ia juga perlu dikekalkan secara berterusan.

Menurutnya, untuk memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan DBKU telah menyediakan Pelan Tindakan dan salah satu daripada program yang dianjurkan adalah Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching.

“Program tersebut sepatutnya dilaksanakan pada tahun lalu, bagaimanapun ia terpaksa ditunda ke tahun ini susulan berlaku penularan pandemik Covid-19.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kota tentang pentingnya kebersihan di kawasan bandar raya kita ini,” katanya dalam majlis pelancaran Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2021 menerusi YouTube BandarayaKU, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak dapat bersama-sama dengan DBKU dalam menjaga kebersihan di bandar Kuching selaras dengan tema bulan kebersihan tahun ini iaitu “Kuching Bersih Tanggungjawab Bersama”.

Sebagai rekod, bersempena dengan Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2021 DBKU telah menganjurkan pelbagai program termasuk Pertandingan Mereka Cipta Logo dan Maskot Kebersihan secara atas talian; Webinar BandarayaKu Bersih; Pertandingan Kebersihan Antara Kejiranan; dan “Clean Kuching City Run and Ride to Clean Up” secara maya dan Pengagihan “Car Rubbish Bag”.

Secara Rawak

Artikel Terbaru