Friday, July 30, 2021

Kanak-kanak 3 tahun “terpesan” 100 mangkuk mi

Mesti baca

JILIN: Kanak-kanak berusia 3 tahun di Jilin, China mencetuskan kekecohan dalam kalangan keluarganya selepas tersilap memesan 100 mangkuk mi menerusi dalam talian.

Kanak-kanak tersebut sepatutnya memesan hanya semangkuk mi zha jiang mian, sejenis mi diperbuat daripada pes soya.

Dia yang menggunakan telefon bimbit ayahnya melakukan transaksi itu, bagaimanapun tersilap tekan dan menekan angka “kosong” dua kali.

Video dimuat naik di YouTube menunjukkan penghantar makanan tiba dengan membawa 100 bekas plastik berisi mi.

Dia juga terpaksa turun naik hampir 12 kali ke flat milik keluarga kanak-kanak itu setinggi 30 tingkat.

Dalam video tersebut, ayah kanak-kanak itu kedengaran bertanya kepada anaknya jumlah mi dibelinya.

Anaknya menjawab dia tidak tahu.

Selepas penghantar makanan itu pulang, dia segera mengajak ayahnya makan.

Ayahnya yang masih terkesima dengan jumlah mi yang begitu banyak itu bagaimanapun menolak ajakannya.

Sebaliknya dia memberitahu, nasib baik anaknya tidak tersalah tekan sehingga empat kali angka “kosong” kerana boleh menyebabkan rumah mereka dipenuhi mi.

Selain si ayah awalnya menyangka anaknya memenangi hadiah dalam talian, penghantar makanan tersebut juga terkejut melihat jumlah mi yang begitu banyak ditempah.

Bapanya hanya menyedari perbuatan anaknya itu selepas memeriksa telefon bimbitnya dan jumlah kesemua mi yang perlu dibayar ialah 1,350 yuan (RM867).

Keluarganya hanya dapat menghabiskan lapan mangkuk mi dan mengagihkan mi tersebut kepada pekerja pembersihan di sekitar kediaman mereka lapor SAYS.

Secara Rawak

Artikel Terbaru