Thursday, December 9, 2021

Elak dikompaun, ikuti garis panduan ini ketika anda makan di kedai di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING:  Berita menggembirakan.

Selepas menjalani PKP dan tidak dibenarkan makan di luar selama sekitar sebulan, penduduk Sarawak  boleh makan di kedai di Sarawak mulai hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengumumkan makan di kedai dibenarkan berkuatkuasa hari ini (16 Julai 2021).

Menurut JPBNS, langkah ini diambil selepas Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan  mengkaji semula dan menambah baik Garis Panduan (SOP) di premis makan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

“Hanya operator termasuk semua pekerja yang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksinasi COVID-19 dibenarkan beroperasi secara dine-in. Garis panduan (SOP) terperinci dapat di muat turun melalui laman web rasmi MLGH: https://mlgh.sarawak.gov.my/ 

“Manakala Garis panduan (SOP) bagi sektor-sektor ekonomi peruncitan yang dibenarkan operasi juga dapat di muat turun melalui laman web rasmi MLGH: https://mlgh.sarawak.gov.my/,” katanya menerusi satu  kenyataan.

Namun, JPBNS memberikan amaran tegas kepada semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar sentiasa mematuhi Garis Panduan (SOP) yang sedang berkuatkuasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Antaranya menutup serta-merta selama 14 hari jika berlaku penularan kes positif di premis yang dibenarkan beroperasi,” jelasnya. 

“Kos-kos saringan dan sanitasi akan ditanggung oleh operator atau pemilik premis. Kita juga akan mengenakan kompaun jika operator/pekerja gagal mematuhi Garis Panduan (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Garis Panduan (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan, selain itu pekerja yang dikenal pasti sebagai individu di bawah pengawasan (PUS) tidak dibenarkan bekerja sehingga mereka tamat tempoh kuarantin.

Selain mereka yang diberikan surat pelepasan oleh pihak Kesihatan dan selesai menjalani ujian saringan Covid-19 yang ditetapkan.

“Pekerja tidak dibenarkan untuk makan secara berkumpulan tanpa penjarakan sosial semasa rehat dan sebagainya di tempat yang ditetapkan (dalam premis) oleh majikan.

“Operator premis, pekerja dan pembekal diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan KKM ketika berada di premis selain itu itu operator perlu memastikan aliran pengudaraan di premis adalah baik,” katanya.

Sementara itu untuk pelanggan, operator premis perlu memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal 1 meter selain menyediakan pensanitasi tangan atau tempat cuci tangan (termasuk sabun).

Jelasnya, operator premis wajib memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa. 

Manakala bagi susun atur atau jarak antara meja adalah dua meter dan kedudukan antara pelanggan perlu penjarakan fizikal satu meter.

“Bagi kapasiti pelanggan dihadkan kepada 50 peratus keluasan lantai dan tidak melebihi 100 orang pada satu-satu masa dan  kapasiti maksimum pelanggan dibenarkan dine-in bagi meja berdiameter satu meter adalah dua orang,” katanya.

“Kapasiti maksimum pelanggan dibenarkan makan di dalam bagi meja berdiameter 1.2 meter ialah empat orang sementara  kapasiti maksimum  pelanggan dibenarkan makan di dalam bagi meja berdiameter dua meter dan ke atas ialah enam orang,” katanya. 

SOP berkenaan juga menetapkan susun atur meja dan kerusi tidak boleh diubah suai sehingga boleh menyebabkan kesesakan dan penjarakan sosial sukar dikawal.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru