Friday, October 22, 2021

Bersetuju untuk bersetuju, bersetuju untuk tidak bersetuju

Mesti baca

KUCHING: Pencapaian kesepaduan dan usaha penyatupaduan merupakan kefahaman baru mengenai perpaduan kaum berbanding kefahaman lama yang lebih kepada pengalaman traumatik sejarah yang penuh dengan idealisme dan harapan.

Penasihat Unit Kementerian Perpaduan Nasional Malaysia, Prof. Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, dalam usaha mencapai kesepaduan memerlukan kedamaian dan keselamatan, kestabilan, kesejahteraan, kesan keselamatan sosial, akses pendidikan, fasiliti keselamatan dan peningkatan ekonomi.

“Usaha mencapai kesepaduan kaum mempunyai dua perkara iaitu pertama bersetuju kepada setuju dan kedua setuju kepada tidak setuju. Contoh perkara pertama ialah keunikan kalender Malaysia yang mempunyai cuti umum pelbagai perayaan.

“Manakala, contoh perkara kedua ialah dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak. Perkara ini akan membawa kepada deficit sosial yang perlu diselesaikan melalui platform integrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Webinar Perkongsian Sejarah Sebagai Asas Perpaduan Kaum anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak, semalam.

Tambah beliau, bagi mencapai kesatupaduan kaum berkongsi sejarah komuniti yang positif tidak akan membawa kepada konflik dan pertengkaran.

Jelasnya, berkongsi tentang perbezaan sejarah dalam masyarakat secara positif akan memberi informasi yang lebih baik kepada netizen dengan menggalakkan perdebatan yang berpendidikan, serta teras kepercayaan adalah perpaduan.

“Oleh sebab itu, saya menegaskan bahawa perpaduan kaum bukanlah konsep tunggal tetapi ia memerlukan usaha mencapai kesepaduan dan penyatupaduan,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru