Tuesday, September 21, 2021

Penerima dua dos: Nilai semula kelonggaran 

Mesti baca

PUTRAJAYA: Kerajaan meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia termasuk dari segi pergerakan rakyat dan beberapa aktiviti sosial lain.

Jelasnya, penilaian itu sebagai petanda bahawa kehidupan rakyat secara beransur kembali normal sementara kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.

“Mutakhir sekali saya telah minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang sudah dapat vaksin dua suntikan supaya mereka diberikan kelonggaran sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai ataupun makan di restoran.

“Ini petanda bahawa kita nak menunjukkan sementara kita mengurus COVID-19, kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa lepas.

“Ini inisiatif ke depan dan dalam tempoh jangka masa ikut Pelan Pemulihan Negara (PPN), itu hanya sehingga akhir tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini seperti dipetik Astro Awani.

Perdana Menteri berkata demikian selepas membuat tinjauan ke pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata semua pihak perlu meletakkan keyakinan terhadap pelbagai usaha yang digerakkan oleh kerajaan.

“Jadi bersabarlah, jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan. Jangan sesekali percaya dengan kempen ‘kerajaan gagal’, tetapi yakin.

“Dengan kerjasama kita, pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat jelata dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita boleh menang dalam hadapi peperangan ini,” kata beliau.

Secara Rawak

Artikel Terbaru