Friday, July 30, 2021

Mahathir namakan anaknya Mukhriz, dan juga Azmin calon Perdana Menteri Malaysia 

Mesti baca

KUALA LUMPUR:  Presiden Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat antara  tiga atau empat calon Perdana Menteri Malaysia pada masa depan ialah  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton dalam program What’s Going On Malaysia? With Harith Iskandar di Youtube malam tadi.

Namun, mantan Perdana Menteri itu  berkata, beliau tidak percaya dengan memilih hanya seorang kerana calon terbabit hendaklah bersaing bagi mendapatkan jawatan itu.

“Ada tiga hingga empat calon dan boleh jadi lebih. Ramai yang melihat saya mesra kepada Azmin, salah satu calonnya. Saya juga rasa ada calon Perdana Menteri yang bukan datang daripada ahli politik terkemuka.

“Mereka  di luar daripada kumpulan ahli politik dan orang baharu serta dalam kalangan mereka yang tunjukkan minat dalam politik. Saya tak boleh namakan kerana tidak adil buat mereka.

“Ada juga menamakan Mukhriz, anak saya, ada juga. Tapi saya tidak percaya dengan memilih seorang dan mereka kena bersaing untuk dapatkan jawatan itu. Apa-apa pun Pejuang perlu bekerja keras,” katanya.

Bagaimanapun, banyak pihak bersikap sinis terhadap calon yang dinamakan Dr Mahathir itu dengan mengatakan ‘Selamatkanlah Malaysia’.

Untuk itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan pagi ini menegaskan, isu yang diperkatakan bekas Perdana Menteri itu bukan mengenai soal anaknya sebagai pengganti jawatan berkenaan.

Ini jelas beliau merupakan kehendak ahli parti Pejuang dan bukan atas kapasiti peribadi.

“Ini bukan soal ahli keluarga atau isu anak-pinak. Seandainya generasi kedua itu mempunyai pakej serta kualiti yang mencukupi maka sebagai pemimpin mahupun ahli Pejuang, kami akan tetap memasarkan Muhkriz untuk berada di barisan tokoh-tokoh pemimpin berpotensi di masa akan datang.

“Mukhriz mempunyai ciri-ciri tersebut. Jadi apa masalahnya sekiranya ayahanda beliau bercakap mengenai perkara tersebut bagi pihak ahli Pejuang?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu  mengakui beliau tidak mungkin lagi menjadi Perdana Menteri  untuk kali ketiga kerana usianya sudah mencecah 96 tahun.

Dr Mahathir baru meraikan hari jadinya beberapa hari lepas.

Secara Rawak

Artikel Terbaru