Friday, July 30, 2021

Isu rakyat perlu dibawa ke Parlimen 

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Isu yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat terutama kini yang menghadapi kesukaran pada era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dibawa ke Dewan Rakyat.

Demikian kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam Twitter merujuk kepada sebuah keratan akhbar arus perdana hari ini yang melaporkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga kecil makin terhimpit jika PKP bersambung.

“Namun hingga hari ini saya masih belum terima notis bila Parlimen akan bersidang. Kenyataan media bukan notis.

“Sesi soal jawab, aturan mesyuarat, usul-usul, bahas Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan lain-lain belum diketahui,” kesalnya.

Sebagai rekod, pada 5 Julai lalu Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Selain itu, kenyataan itu juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Secara Rawak

Artikel Terbaru