Friday, July 30, 2021

Benarkah memohon i-Citra sukar?

Mesti baca

Beberapa aduan dipanjangkan kepada saya mengenai kesukaran sebilangan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan caruman masing-masing di bawah program i-Citra.

Kesukaran itu ada kaitan dengan ketidakbolehan untuk menghantar permohonan selepas tahap pertama dan kedua proses permohonan disempurnakan.

Pada tahap pertama pemohon perlu menyatakan amaun pengeluaran i-Citra yang dipohon.

Bergantung kepada baki kuantum caruman yang ada dalam akaun pencarum, ahli KWSP boleh mengeluarkan sebanyak RM5,000, dibayar RM1,000 selama lima bulan.

Fasa kedua ialah melengkapkan maklumat pemohon.

Selepas membuat pengakuan bahawa maklumat yang dibekalkan adalah betul, pemohon diminta untuk menghantar permohonan yang merupakan fasa tiga.

Tetapi apabila kotak hantar ditekan, penghantaran tidak dapat dilaksanakan seperti yang dizahirkan dalam imej di bawah.

Klik untuk buktikan anda bukan robot juga tidak berfungsi.

Dengan itu bermakna, permohonan tidak dapat diselesaikan.

Transaksi pada 14 Julai 2021 ini dibuat melalui Google Chrome salah satu pelayar web yang dicadangkan oleh KWSP untuk memohon i-Citra.

Hasil transaksi seorang pemohon pada 14 Julai 2021: kotak hantar ditekan, tetapi permohonan gagal dihantar.

Pemohon kemudian menggunakan pelayar web lain yang yang dicadangkan oleh KWSP.

Hasilnya tetap sama. Penghantaran tidak dapat diselesaikan. Hasilnya muncul pula imej ini memaklumkan “permohonan anda tidak dapat diteruskan. Kod Ralat 201. Anda boleh hubungi Hotline i-Citra di talian 03-89224848 dan nyatakan kod ralat sebagai rujukan.”

Bukankah itu menyusahkan namanya.

Beberapa kali dicuba, hasilnya pi mai pi mai tang tu juga. Penghantaran tidak dapat disempurnakan.

Antara pelayar web yang dicadangkan oleh KWSP untuk memohon i-Citra.

Kecewa, pengadu itu merungut kerana sistem i-Citra KWSP tidak mesra pengguna.

Malah ada yang menghantar mesej teks berbunyi: “Kalau macam ni, saya kesian PM. Hasrat nak tolong pencarum sukar disempurnakan. Apa yang berlaku pada peringkat akar umbi adalah pencarum berdepan dengan kesukaran untuk mengeluarkan wang sendiri.”

Saya cuma berharap, jika benar ada masalah untuk menghantar permohonan i-Citra, kesukaran itu bukanlah meluas, tetapi terpencil. Dan upaya diambil untuk menyelesaikan segera.

Apapun, kesukaran itu tidak patut berlaku dek kerana ketidakcekapan sistem KWSP yang mungkin belum lagi bersedia untuk melayan permohonan i-Citra.

Hal ini kerana akhirnya yang buruk bukan sahaja imej KWSP sahaja, tetapi imej kerajaan dan Perdana Menteri umumnya.

Dalam suasana rakyat berada dalam kesukaran akibat pandemik Covid-19 ini, kemarahan mereka terhadap kerajaan hendaklah dibendung. Atau sebaik-baiknya dilunakkan.

Inilah waktunya untuk agensi-agensi kerajaan yang ditugaskan untuk meringankan beban rakyat melalui pelbagai program yang telah diputuskan mempamerkan kecekapan pada tahap terbaik.

Jangan beri ruang kepada musuh kerajaan untuk menangguk di air keruh dengan mengapi-apikan kemarahan rakyat terhadap kerajaan menggunakan KWSP.

Secara Rawak

Artikel Terbaru