Friday, July 30, 2021

Purata gaji di negara ini menurun 9 peratus tahun lalu

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Purata gaji dan upah bulanan menurun 9% tahun lalu, kemerosotan pertama sejak Jabatan Perangkaan mula melakukan tinjauan tahunan itu pada 2010.

Purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020 berbanding RM3,224 pada 2019.

Purata gaji dan upah bagi pekerja mahir ialah RM4,619 tahun lalu berbanding RM5,072 pada 2019, berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Menurut Ketua Perangkawan,  Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin,  semua negeri turut mencatatkan penurunan purata gaji dan upah bulanan berbanding 2019.

Jelasnya, penurunan itu berpunca daripada pasaran buruh negara mengalami momentum tidak menentu dan waktu operasi perniagaan terhad berikutan krisis kesihatan serta kesan ekonomi.

“Manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4% dan 2.8%,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau lagi, walaupun pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi, iaitu RM6,479, diikuti profesional (RM5,301), juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,313).

“Bagaimanapun, nilai purata yang diterima pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya RM8,855,” ujarnya.

Beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar turut merosot tahun lalu, iaitu masing-masing 9.3% kepada RM3,089 dan 5.5% kepada RM2,086.

Sementara itu, mengikut negeri purata gaji dan upah bulanan tertinggi diterima pekerja ialah di Putrajaya (RM4,497), diikuti Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).”

Secara Rawak

Artikel Terbaru