Friday, July 30, 2021

Usaha pastikan kelestarian kewangan Felda perlu diteruskan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan kewangan dan kelestarian Felda  melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) perlu diteruskan demi mengembalikan kegemilangannya seperti suatu ketika dahulu.

Sejak penubuhannya, menurut Ahli Dewan Negara, Idris Ahmad, Felda telah membangunkan lebih daripada dua juta peneroka dengan keluasan ladang sehingga 1.2 hektar selain pernah memiliki khazanah harta bernilai RM25 bilion

“Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada PPK kerana objektif memulihkan Felda melalui pengurusan yang lebih cekap dan berintegriti menunjukkan hasil yang positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, antaranya dengan penghapusan hutang Felda sehingga 80 peratus seperti yang diumumkan oleh  Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini .

“Selain itu, saya mengharapkan agar kesilapan lalu di dalam pengurusan sehingga menyebabkan Felda mengalami kerugian besar dan menanggung hutang yang banyak perlu dielakkan bagi memastikan usaha kerajaan pada ketika ini tidak sia-sia,’ katanya.

Sehingga kini,  jelasnya, dua daripada tiga misi PPK telah berjaya dilaksanakan iaitu pengambil alihan tanah Felda daripada FGV Holding dan penstrukturan semula hutang Felda.

“Justeru, saya mengharapkan usaha kerajaan melalui Program Pembangunan Peneroka yang bertujuan meningkatkan daya berdikari peneroka melalui kepelbagaian sumber pendapatan turut berjaya dilaksanakan seterusnya meningkatkan ekonomi mereka khususnya dan negara umumnya,” katanya lagi.

“Membela hak dan membantu para peneroka Felda sentiasa menjadi denyut nadi perjuangan Pas sejak sekian lama. Justeru, kita perlulah menghargai segala usaha dan keringat yang dikeluarkan oleh generasi awal Felda dalam merintis penerokaan tanah untuk kemakmuran negara Malaysia,” tegasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru