Monday, August 2, 2021

Tun M: Rakyat sedang tertekan, tiada makanan, hilang pekerjaan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Rakyat ketika ini sedang tertekan apabila kehilangan orang tersayang, tiada pekerjaan atau berniaga dan tiada pendapatan akibat sekatan yang dikuatkuasakan, tiada makanan dan tidak boleh berjumpa dengan ahli keluarga, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, keadaan ketika ini  amat serius, justeru itu,  tindakan pantas perlu diambil walaupun tindakan itu adalah bertentangan di bawah perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi penulisan terbaharu di blognya mencadangkan agar sebuah organisasi khas ditubuhkan secepat mungkin bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 sehingga ia tidak lagi menjadi ancaman kepada kehidupan orang awam.

Dr Mahathir menyeru agar organisasi tersebut ditubuhkan dan dibiayai kerajaan di bawah peruntukan khas bagi memenuhi keperluan tindakan tersebut.

Untuk rekod, Malaysia kini di tangga ke-34 dunia dari segi jumlah kes Covid-19 setelah merekodkan 844,870 kes dan 6,260 kematian.

Katanya lagi,  organisasi tersebut hendaklah  diberi kuasa yang sama seperti yang diperuntukkan di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan pada 1969-1971.

“Sistem Perlembagaan Malaysia memperuntukkan pengisytiharan darurat. Di bawah pelaksanaan darurat, tindakan dan struktur yang tidak diperuntukkan dalam perlembagaan dan undang-undang boleh dilaksanakan bagi menangani ancaman yang berlaku terhadap negara,” tegasnya.

Pada 2020, ujar beliau,  sebab yang dinyatakan untuk pengisytiharan darurat adalah kerana pandemik Covid-19 tanpa sebab lain yang dijelaskan.

“Justeru itu, kerajaan hendaklah  bertindak di luar kebiasaan yang diperuntukkan dalam perlembagaan,  dan undang-undang khas perlu diwujudkan bagi menangani ancaman akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru