Friday, July 30, 2021

Serpihan penyepit makanan tusuk muka

Mesti baca

TAIWAN: Sekumpulan doktor pakar di Taiwan baru-baru ini melaporkan tentang kes luar biasa membabitkan wanita yang ditemui memiliki dua penyepit makanan plastik di dalam tengkorak muka tanpa pengetahuannya.

Wanita berusia 29 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital selepas bergaduh dengan kakaknya.

Pergaduhan adik-beradik itu menyebabkan mukanya robek di bahagian hidung dan mata kirinya.

Doktor memeriksanya dan melakukan imbasan di wajahnya tetapi tidak menemui apa-apa yang luar biasa.

Seminggu selepas itu wanita tersebut mula mengesyaki lukanya lebih serius daripada yang difikirkannya.

Dia juga mendapati serpihan penyepit plastik yang digunakan kakaknya untuk menyerangnya tidak kelihatan apabila membersihkan rumahnya.

Dia juga merasakan seperti ada sesuatu yang melekat di dalam hidungnya.

Dia kembali ke hospital dan memberitahu doktor tentang kebimbangannya.

Setelah menjalankan pemeriksaan lebih teliti, doktor menemui serpihan penyepit plastik tersebut melekat di septum hidungnya dan pembedahan dilakukan untuk mengeluarkannya dua objek terbabit.

Salah satu serpihan penyepit plastik itu berukuran kira-kira 3.5 sentimeter, manakala satu lagi ialah 5 sentimeter.

Setelah menganalisis kedudukan objek dan luka pada wajah wanita itu, doktor menentukan bahawa kedua-dua luka kecil itu sebenarnya merupakan titik masuk serpihan tersebut.

Menurut doktor seperti dipetik Odditycentral, nasib wanita itu baik kerana ia memasuki tengkorak melalui “laluan” yang sama yang digunakan doktor ketika melakukan pembedahan pada sinus etmoid, yang terletak di antara sudut mata dengan bahagian hidung.

Keadaan wanita itu dilaporkan stabil selepas pembedahan tersebut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru