Friday, July 30, 2021

Program Penjana Pekerjaan dan Latihan Graduan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Tata Consultancy Services (TCS) (BSE: 532540, NSE: TCS), sebuah organisasi perkhidmatan IT, perundingan dan penyelesaian perniagaan terkemuka global, sedang mengembangkan program menjana pekerjaan di dalam sektor teknologi bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital dan menyokong usaha Kementerian Sumber Manusia memperluaskan lagi akses kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia.

Peluang pekerjaan dan latihan graduan TCS Malaysia akan disenaraikan di dalam Pusat Penempatan HRDF (HPC) yang dilancarkan oleh Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), iaitu sebuah portal sehenti yang memadankan para majikan daripada pelbagai sektor dan industri dengan calon-calon yang tepat.

HPC menyasarkan untuk mengisi kekosongan jawatan yang tersedia, menyediakan peluang latihan dan pembangunan, selain daripada menangani isu jurang kemahiran modal insan serta menghubungkan para pekerja dengan senarai pelatih dan jurulatih yang luas untuk kaunseling dan nasihat kerjaya.

Ketika ini, TCS telah menyenaraikan hampir 400 pekerjaan berkemahiran tinggi di dalam HPC, termasuk penganalisis perniagaan, pakar keselamatan siber, jurutera awan, arkitek perusahaan, pembina tindanan penuh atau full stack developer dan pereka UI/UX. Selain daripada itu, TCS turut menawarkan Program Pembelajaran Awal atau Initial Learning Programme (ILP) kepada semua pekerja baru.

Program yang berjaya di peringkat global ini ialah satu program pembelajaran dan latihan amali selama dua bulan untuk para graduan yang baru menamatkan pengajian, dan bertujuan memenuhi jurang kemahiran. ILP memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknologi seperti pengkodan, penganalisisan data dan pembangunan perisian atau aplikasi, serta kemahiran insani seperti  penyelesaian masalah, kreativiti dan kemahiran komunikasi. 

Sejak ILP dilancarkan pada tahun 2020, TCS Malaysia telah berjaya mengambil 100 graduan yang baru menamatkan pengajian di sepanjang tempoh pandemik menerusi empat sesi pengambilan, dan menempatkan mereka di dalam projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini. Lagi 50 jawatan untuk graduan yang baru menamatkan pengajian akan ditawarkan dalam pengambilan ILP yang akan datang pada Ogos 2021.

“Kami bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Malaysia bagi menjana lebih banyak lagi pekerjaan digital untuk rakyat Malaysia. TCS menyokong usaha negara untuk merapatkan jurang kemahiran digital dan menjana pekerjaan yang bergaji tinggi di dalam sektor teknologi untuk golongan muda di Malaysia. Menerusi kerjasama dengan HPC di dalam inisiatif ini, kami merancang untuk memacu kelestarian digital yang merangkumi keseluruhan ekosistem Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” kata Ketua Negara TCS Malaysia, Jeevan Rajoo

Kemahiran teknologi maju mendapat permintaan tinggi di Malaysia, sejajar dengan unjuran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Pada awal tahun ini, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah dilancarkan yang menggariskan sasaran untuk meningkatkan digitalisasi, menambah baik infrastruktur digital dan membina persekitaran digital yang lebih diyakini dan selamat, selain daripada menyasarkan pembangunan 20,000 pekerja berpengetahuan dalam bidang keselamatan siber dan 30,000 profesional data menjelang tahun 2025.

“Di MDEC, kami percaya bahawa masa depan digital Malaysia terletak di tangan semua warga Malaysia, dan bagi mengembangkan ekonomi digital, amatlah penting supaya setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang pengetahuan dan kemahiran, untuk mendorong kesejahteraan bersama yang saksama melalui pekerjaan berkualiti tinggi.

Dengan pengetahuan dan pengalaman global mereka, TCS berada di tempat yang tepat untuk membantu memajukan ekonomi digital, sejajar dengan pemacu utama yang telah kami kenalpasti, iaitu memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, mewujudkan perniagaan yang digerakkan secara digital dan memacu pelaburan dalam sektor digital.

Ekonomi di Malaysia masih dalam tahap pemulihan, jadi penambahan peluang yang membolehkan warga Malaysia meningkatkan kemahiran dan melatih semula pasti akan membantu,” ulas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Kadar pengangguran pada April 2021 ialah 4.6% atau 742,700 orang, berbanding Januari 2020 iaitu 3.2% atau 511,700 orang, manakala kadar pengangguran di kalangan golongan muda (berusia 15 hingga 24 tahun) ialah 13.7% pada April 2021.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai HPC dan melihat pekerjaan yang ditawarkan, sila kunjungi https://hpc.hrdcorp.gov.my/. Para graduan yang berminat untuk menyertai Program Pembelajaran Awal TCS boleh mendaftar di Malaysia.Careers@tcs.com. Kunjungi www.tcs.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru