Monday, August 2, 2021

Tidak sokong Muhyiddin: Bom jangka politik gagal meledak

Mesti baca

HARI-HARI  yang penuh dramatik dari segi politik. Itulah yang berlaku sejak malam Isnin hingga Khamis. Pada malam Isnin, majoriti Ahli Parlimen BN tidak bersetuju dengan keputusan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN). 

Pada  Selasa menjelang mesyuarat  Majlis  Kerja Tertinggi Umno pada malam Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan yang agak mengejutkan apabila melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. 

Ingat, ketika membentuk kerajaan pada Mac 2020, untuk pertama kali dalam sejarah negara, jawatan itu tidak diwujudkan. Sebaliknya, beliau melantik empat orang menteri kanan, mencetuskan persoalan, apakah agenda dan tujuan beliau berbuat demikian?

Persoalannya, mengapakah Muhyiddin hanya mengisi jawatan itu ketika ini, dan bukannya ketika awal pemerintahannya? 

Adakah  pelantikan itu memang  untuk membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini seperti dinyatakan dalam kenyataan rasmi beliau?

Adakah pelantikan ini juga akan dapat meningkatkan lagi keupayaan kerajaan PN khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuat perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut?

Atau pelantikan berkenaan adalah sebagai checkmate dan tindakan preemptive sebelum mesyuarat MKT Umno diadakan sebelah malamnya? 

Satu lagi drama politik yang tidak kurang mendebarkan adalah apabila Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pada awal pagi Khamis, ketika semua orang sudah nyenyak tidur, adalah pendirian serta-merta bahawa Umno tidak  lagi menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.  

Pengumuman itu seolah-olah bagai bom jangka, tetapi kemudiannya ternyata sebagai bom jangka yang tidak sempat meledak dan menggegarkan landskap politik negara.

Malah,  Ahmad Zahid meminta supaya Muhyiddin berundur secara terhormat. Desakan itu turut disambut oleh pembangkang yang memang sentiasa menangguk di air keruh, kerana  menyifatkan beliau sudah hilang sokongan dan keabsahan disebabkan hilang majoriti di Parlimen. Tetapi adakah semudah itu untuk Muhyiddin mengibarkan bendera putih?  

Justifikasi Umno? Kerajaan PN gagal dalam tujuh perkara yang disenaraikannya dalam kenyataan media Presidennya. Adakah justifikasi kegagalan kerajaan itu sebagai sebab Umno menarik diri dapat diterima? 

Atau ia sekadar alasan untuk menghalalkan tindakan mereka? Sedangkan, seperti yang kita semua tahu, banyak daripada menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan sekarang ialah pemimpin Umno.  Inilah ironinya. 

Melabelkan kerajaan PN sebagai gagal menjalankan tugasnya,  sekali gus bermakna pemimpin Umno juga gagal. Sebab, mereka kini berada dalam kerajaan PN yang turut melakarkan dasar, strategi dan prakarsa kerajaan dalam menangani pelbagai isu, termasuk isu Covid-19 dan ekonomi.

Bagi rakyat kebanyakan, pelbagai peristiwa dan adegan politik yang berlaku dalam minggu ini, sukar difahami. Ada yang bertanya, adakah dengan penarikan sokongan oleh Umno itu, maka Muhyiddin sudah hilang jawatan itu? 

Adakah kerajaan PN sudah jatuh? Dalam keadaan begini, jawapannya berbeza, bergantung kepada siapa yang anda bercakap dan siapa yang berkata. Mereka yang kononnya pakar pun mempunyai tafsiran dan pandangan berbeza. Hakikatnya, sebelum pengumuman Umno itu, kerajaan mempunyai 115 Ahli Parlimen berbanding pembangkang 105.  

Diandaikan Ahli Parlimen Umno, 38 orang kesemuanya, menarik sokongan, maka bermakna PN sudah berkurangan. Tetapi, perhitungan politik negara belum lagi selesai. 

Sebab, Umno tegas dengan pendiriannya untuk tidak memberi sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai  35 kerusi, dan juga tidak mahu bekerjasama dengan DAP yang memiliki 42 kerusi. Dalam keadaan demikian, Umno sebenarnya telah menembak kakinya sendiri. 

Jadi, bagaimana mungkin pencabar dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan DAP dan PKR? Sebelum ini, kerajaan PN sebenarnya mempunyai majoriti tipis, dan jika 38 Ahli Parlimen Umno tidak lagi dalam kerajaan, bermakna, kerajaan berada dalam majoriti negatif. 

Namun, seyogia diingat, majoriti negatif terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin bukan secara automatik bermakna ia memberi majoriti positif kepada pihak lawan. Maksudnya, tanpa kekalahan rasmi atau pembuktian sokongan terhadap mana-mana pihak di Dewan Rakyat, kenyataan dan angka  tidak mempunyai banyak makna. 

 Kini kita bukan sahaja berada dalam kelaziman baharu ekoran ancaman pandemik Covid-19, tetapi juga berdepan kelaziman baharu dari segi politik. Politik selepas PRU-14, tidak lagi sama seperti politik sebelum itu. 

Ia semakin kompleks dan sukar ditafsirkan, malah oleh penganalisis politik. Semua pihak mendakwa tindakan dan keputusan yang diambil adalah demi kepentingan rakyat dan negara?  

Tanya pembangkang.  Mereka akan kata tindakan mereka adalah demi kepentingan negara. Tanya kerajaan PN, juga sama. Begitu juga dengan Umno. Mana ada orang politik bercakap  tindakan mereka adalah demi kepentingan diri, puak atau survival parti. Ya, semuanya atas kepentingan rakyat dan negara. Sedangkan bagi rakyat yang kini sengsara dan menderita, tindakan mereka itu adalah demi kepentingan diri, kuasa dan jawatan.

Ketidaktentuan politik terus berlaku. Politik Malaysia masih belum lagi stabil dan ketidakstabilan dan ketidaktentuan itu tentu memberi dampak dan implikasi besar terhadap negara ketika ancaman pandemik Covid-19 terus mengganas. 

Malaysia kini berada di tangga ke-34 dunia dengan lebih 800,000 kes dan sekitar 6,000 kematian. Proklamasi darurat gagal menurunkan angka, malas angka kes jangkitan naik sepuluh kali ganda.

Sekarang apa pilihan Muhyiddin? Beliau boleh memilih untuk berundur secara terhormat — pilihan yang tidak mungkin akan dilakukan demi menjaga air muka dan tidak mahu dilabelkan sebagai hero politik tragik. 

Satu lagi cara terbaik dan punya legitimasi  politik serta bersifat demokratik adalah dengan mengemukakan majoriti  positif alternatif kepada pihak Istana Negara, sekali gus bermakna, undi tidak percaya yang konstruktif. 

Pembangkang atau pencabar Muhyiddin juga boleh menolak usul menjunjung kasih titah Diraja. Atau dengan tidak menyokong usul Belanjawan, sehingga dengan sendirinya menjadi bukti kerajaan gagal mendapat sokongan.

Usul percaya  atau  usul tidak percaya  juga boleh dikemukakan di Dewan Rakyat  untuk menguji majoriti atau sokongan, sesuai dengan amalan dan proses demokrasi matang. Sekiranya tewas dalam undian, maka baru wajar bagi Muhyiddin untuk meletakkan jawatan bersama-sama dengan jemaah menterinya.  

Jika pilihan ini diambil,  sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan lagi, kelihatannya Muhyiddin tentunya terus dapat menarik nafas lega.

Dr Jeniri Amir

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara 

Secara Rawak

Artikel Terbaru