Thursday, December 9, 2021

Rumah panjang selamat dek kecekapan bomba

Secara Rawak

KANOWIT: Kecekapan dan tindakan pantas Bomba berjaya menyelamatkan kemusnahan lebih besar dalam satu kebakaran membabitkan sebuah bilik di Rumah Panjang Kujat, di sini, petang semalam.

Insiden yang dipercayai bermula dari bilik tidur itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.21 petang.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, bilik itu masih terbakar. Kami melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran 300 kaki sumber air pili Bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.56 petang dan kemusnahan dianggarkan 20 peratus daripada keseluruhan rumah panjang 15 pintu jenis kekal itu,” katanya ketika dihubungi.

Arrahman berkata, dua mangsa yang tinggal di dalam bilik terbabit terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian katanya, disedari oleh mangsa selepas tercium bau sesuatu yang terbakar ketika berada di ruang dapur.

“Mangsa pergi ke arah bau itu dan ternampak api sudah membakar tilam di dalam bilik tidurnya.

“Dia kemudiannya bergegas mendapatkan pertolongan penghuni lain sebelum bertindak menghubungi Bomba,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru