Wednesday, September 22, 2021

Rakyat, negara perlu diselamatkan segera

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Rakyat dan negara perlu diselamatkan segera dan permainan politik perlu dihentikan secepat mungkin.

“Rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara sedang berdepan kegagalan maha dahsyat. Kes harian jangkitan Covid-19 semalam telah pun mencecah hampir 10,000 kes, tetapi yang di puncak kuasa seolah-olah terus bermain politik menjamin kedudukan,’ kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab itu kita mahu menghentikan permainan politik itu secepat mungkin. Rakyat dan negara perlu diselamatkan segera. Kita berusaha sehabis baik,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mengulas berkaitan ada dua perkhabaran yang dianggapnya cukup menyayat hati.

“Pertama, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilapor meninggal dunia. Berita awal menyebut pelajar itu mengalami beban belajar dalam talian. Maklumat awal seperti dilaporkan media itu andai benar sangat mendukacitakan.

“Kedua berlaku kekecohan semasa pengebumian jenazah kes Covid-19 di Klang, Selangor.

“Disebabkan rasa tidak puas hati antara sukarelawan pengurusan jenazah dan petugas kesihatan.

Kedua-dua pihak kelihatan sudah begitu kepenatan sehingga berlaku pertelingkahan,” katanya.

Sebab itu tegas beliau lagi, Malaysia perlu segera keluar daripada ancaman pandemik berbahaya.

Dilaporkan, kes harian baharu Covid-19 di negara ini kekal mencatatkan angka melepasi 9,000 dengan 9,105 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 836,296.

Secara Rawak

Artikel Terbaru