Saturday, October 23, 2021

Kes gaduh: Tiga lelaki dipanggil bantu siasatan

Mesti baca

PADAWAN: Tiga individu lelaki akan dipanggil polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengenai video tular pergaduhan yang berlaku akibat perselisihan faham terhadap isu pengagihan bekalan makanan di sebuah kedai peralatan Batu 18, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya setakat ini telah menerima tiga laporan merujuk kepada kejadian yang sama pada video berdurasi selama lebih kurang seminit.

Menurutnya, video terbabit memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Chang Ah Chin membuat tomahan ke atas menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Jerip Susil dengan mempertikaikan duit sumbangan sebanyak RM300,000 adalah dari pihak Kerajaan Persekutuan dan bukannya dari pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Pada hari yang sama sekitar jam 2.30 petang, dua individu telah hadir ke kedai Chang Ah Chin, bertujuan memberikan penerangan berkenaan pengagihan bekalan makanan yang dilakukan oleh Datuk Jerip pada 14 Jun 2021.

“Semasa penerangan diberikan, seorang wanita tidak dikenali telah hadir untuk meminta bantuan bekalan makanan dan menyatakan beliau tidak pernah menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak menyebabkan provokasi serta pergaduhan berlaku di antara Chang Ah Chin dengan Lee Bui Hiong,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ketika kejadian kedua-dua individu terbabit masing-masing menggunakan barang iaitu sebatang dan sebatang besi penyukat suhu kedai.

Jelasnya, akibat daripada itu Chan Ah Chin mengalami kecederaan di bahagian ibu jari kaki sebelah kiri manakala Lee Bui Hiong tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain daripada itu katanya, meja plastik yang berada di hadapan kedai turut pecah semasa pergaduhan berlaku.

Dedahnya hasil semakan lanjut mendapati individu dengan nama panggilan Chang Ah Chin itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK dan Seksyen 504 KK / Sek 233 Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia 1998.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 504/427/160/233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.

Secara Rawak

Artikel Terbaru