Wednesday, September 22, 2021

11,000 penduduk Satok sudah divaksin

Mesti baca

KUCHING: Lebih 80 peratus penduduk di kawasan Dun Satok yang layak untuk divaksin sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini, kata Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki.

Menurutnya, jumlah tersebut bersamaan dengan 11,000 orang daripada 14,000 populasi penduduk di kawasan tersebut.

“Kami sudah memulakan program vaksinasi untuk kawasan Dun Satok bermula 30 Jun lalu di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Klinik Kesihatan Jalan Masjid dan Dewan Majma.

“Setakat ini, jumlah penerima vaksin yang layak dan sudah menerima suntikan melebihi sasaran awal iaitu 8,000 orang.

“Ini satu perkembangan yang sangat baik dan memberangsangkan dalam usaha Kerajaan Sarawak mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduknya menerima vaksin menjelang penghujung Ogos kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jangkauan Vaksinasi Segedup di Kampung Segedup, di sini, semalam.

Tambahnya, program vaksinasi untuk kawasan Dun Satok akan diteruskan sehingga Ogos bagi memastikan semua penduduk yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19, sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Sekarang sekitar 80 peratus penduduk di sini menerima vaksin, diharapkan jumlah itu dapat ditingkatkan kepada lebih 90 peratus.

“Dengan sambutan dan kerjasama yang diterima, kita dapat mencapai sasaran tersebut dalam tempoh beberapa hari lagi,” tambahnya.

Mengenai program imunisasi Covid-19 beliau berkata, Sarawak mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan mencatatkan jumlah penerima vaksin paling tinggi.

“Setakat ini lebih 60 peratus penduduk yang layak sudah menerima dos pertama vaksin dan dos kedua sekitar 27 peratus.

“Jadi saya fikir kita dapat mencapai sasaran 80 peratus penduduk divaksin menjelang Ogos kelak,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi negeri ini termasuk petugas barisan hadapan, sukarelawan dan sebagainya.

“Proses vaksinasi berjalan lancar. Ini benar-benar kerja
berpasukan yang sangat baik daripada semua pihak. “Bukan hanya untuk di Satok, tetapi seluruh negeri ini.

Ini bermaksud rakyat Sarawak adalah orang yang baik dalam memberi
kerjasama kepada kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Ogos kelak,” katanya lagi.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Samad Gani.

Secara Rawak

Artikel Terbaru