Monday, August 2, 2021

Leka berjudi di pondok, 4 lelaki dicekup polis

Mesti baca

KOTA SAMARAHAN: Empat lelaki dicekup polis ketika sedang leka bermain judi mahjung jenis ‘POH’ di sebuah pondok yang berada di kawasan hutan Kampung Jernang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, serbuan sekitar jam 2.40 petang itu berjaya menahan kesemua suspek yang merupakan warga tempatan masing-masing berusia 28 hingga 66 tahun.

“Semasa serbuan Ops Dadu Khas didapati terdapat empat individu lelaki sedang asyik bermain judi jenis POH.

“Kesemua suspek ditangkap dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara barangan yang dirampas termasuk sekeping papan playwood, buah mahjung, alat tulis dan wang tunai berjumlah RM12,408.

Manakala keempat-empat suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan.

Tegasnya, kes disiasat dibawah seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda maksimum RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu katanya, kesemua suspek yang ditahan turut dikompaun di bawah Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Perintah Kawalan Pergerakan 2021 (PPN).

Sudirman dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian seperti judi dalam talian, loteri haram, sabung ayam dan lain-lain diminta menyalurkan maklumat secara terus ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kota Samarahan di talian 082 622 101.

Secara Rawak

Artikel Terbaru