Monday, August 2, 2021

Kerajaan gagal? Sembilan menteri, 8 timbalan menteri dari Umno

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur diri.

Menurut ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, ini ialah satu bentuk pelanggaran kepada Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang telah menitahkan supaya semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan urusan negara difokuskan kepada memulihkan keadaan negara.

Katanya, berdasarkan kenyataan pihak Peguam Negara bertarikh 8 Julai lalu dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19 ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan  menteri  dan lapan timbalan menteri dari Umno terhadap Pelan Pemulihan Negara.

“Kita wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan kita kembali meneruskan kehidupan seharian sepertimana biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pemuda PN akan terus menjadi entiti semak-imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik Covid-19. Ia sewajarnya menjadi agenda utama setiap daripada kita. Hentikan politiking yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru