Wednesday, September 22, 2021

Pemuda PN: Kenyataan Zahid  desak PM undur langgar titah Agong

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menolak desakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  meletakkan jawatan.

Pemuda PN menegaskan gesaan tersebut  satu bentuk pelanggaran kepada titah Yang di-Pertuan Agong, yang telah menitahkan agar semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan urusan negara difokuskan kepada memulihkan keadaan negara.

Selain menarik balik sokongan Umno, Ahmad Zahid pada awal pagi Khamis meminta Muhyiddin supaya berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik.

Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin; Ketua ARMADA Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari; Ketua Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP), Jamain Sarudin; serta Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Wong Chia Zhen berkata demikian dalam satu kenyataan bersama.

“Berdasarkan kenyataan pihak Peguam Negara bertarikh 8 Julai 2021 (semalam) dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19 ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan menteri penuh dan lapan timbalan menteri daripada UMNO terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata mereka.

“Kita wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan kita kembali meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” kata mereka.

Jelas mereka lagi, Pemuda PN akan terus menjadi entiti semak dan imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.

Justeru, Pemuda PN menyeru agar semua pihak menghentikan politiking yang disifatkan menyusahkan rakyat.

Secara Rawak

Artikel Terbaru